• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Lepas Tombiruo, Zul Ariffin Tayang Badan Dalam Sangkar

Pelakon Zul Ariffin sekali lagi perlu menayangkan tubuh badannya menerusi filem terbaharu lakonannya, Sangkar yang diarahkan oleh Kabir Bhatia.

Menurut Zul, dia bukan sengaja mahu mendedahkan badan sebaliknya tuntutan watak sebagai peninju MMA memerlukannya untuk tampil dengan imej tersebut.

“Boleh kata dalam filem Sangkar ini, imej saya separuh bogel kerana perlu tampil sebagai peninju MMA. Untuk watak ini juga saya perlu menyimpan jambang.

“Kalau ikutkan saya suka clean shaved, rimas berjambang-jambang ini,” katanya secara berseloroh kepada KopiPlanet.com.

Zul ditemui ketika majlis anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Menerusi DFKL 2018, Zul berjaya membawa pulang trofi Aktor Pilihan menerusi lakonan dalam Titian Cinta lakonannya bersama Farah Nabilah.

Semakin dikenali membawakan watak-watak bergenre aksi, Zul melihat ini satu peluang yang baik untuk pelakon sepertinya terus mempamerkan bakat kepada umum.

“Sekarang filem bergenre aksi sudah semakin mendapat permintaan sekali gus menyebabkan penerbit semakin berani mencuba genre ini. Alhamdulillah (dengan perkembangan ini) pelakon macam saya ada tempat di industri.

“Kalau ikutkan memang saya buat penjenamaan di mana untuk drama, watak saya lebih kepada cinta dan sebaliknya untuk filem, wajah saya sudah sinonim dengan watak-watak aksi dan lasak,” jelasnya.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Belanda ini, setakat ini jadual seninya penuh sehingga ke hujung tahun dan untuk bulan puasa ini dia akan menyambung semula penggambaran filem Sangkar yang dijangka ditayangkan bulan Mei tahun hadapan. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend