• FOLLOW US
Filem, Terkini

Maklum Balas Positif… Anak Perjanjian Syaitan Bakal Tayang Di 100 Pawagam

Filem paling seram 2019, Anak Perjanjian Syaitan ternyata mendapat sambutan hangat apabila bakal ditayangkan di 100 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk negara jiran Brunei dan Singapura.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd., Saifulhaq Anani berkata, ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif buatnya sebagai penerbit yang baharu berkecimpung dalam industri perfileman.

“Bagi saya dengan jumlah sebanyak 100 pawagam yang akan menayangkan filem ini, kami yakin Anak Perjanjian Syaitan akan memberikan satu kepuasan kepada penonton.

“Malah, kami difahamkan penambahan jumlah pawagam ini adalah permintaan pihak pawagam sendiri berdasarkan maklum balas positif penonton yang telah menontonnya semasa majlis tayangan perdana baru-baru ini,” katanya.

Menurut Saifulhaq lagi, pihaknya kini dalam usaha untuk membawa filem berkenaan bagi tayangan di Indonesia.

“Pada masa ini kami telah menghantar filem ini kepada pihak pawagam di sana dan sedang menunggu maklum balas daripada mereka,” ujarnya lagi.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn. Bhd. akan ditayangkan di pawagam pada Khamis ini.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Sahronizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend