• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

The Mirza Sedia Tawan Peminat Malaysia Menerusi Jatuh-Jatuh Cinta

Nama The Mirza mungkin masih belum lagi menjadi sebutan peminat di Malaysia, namun penyanyi duo pasangan kembar seiras Norzafira Mirza Mohd. Rafiq (Zaf) dan Norsyafira Mirza Mohd. Rafiq (Syaf) ini terlebih dahulu mencipta nama di Indonesia.

Mula dibentuk sekitar tahun 2017, The Mirza yang diangkat menerusi nama di belakang adik-beradik mereka itu diterima baik oleh penikmat muzik bergenre pop R&B di negara seberang sehingga dianggap mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding penyanyi sedia ada.

Sedikit pengenalan, pasangan duo ini mula dikenali menerusi medium media sosial seperti YouTube, Instagram dan Twitter apabila kedua-duanya sering memuat naik video nyanyian merdu saduran termasuk lagu biduanita negara, Saloma yang meraih tumpuan baru-baru ini.

Berkongsi kisah perjalanan The Mirza, kedua-dua anak jati Kuala Lumpur itu mengaku agak mudah meloloskan diri ke persada hiburan Indonesia, termasuk mengadakan siri jelajah persembahan di pelbagai lokasi disebabkan mereka adalah satu-satunya pasangan kembar memiliki wajah seiras yang bergiat aktif dalam nyanyian di sana.

“Semuanya bermula apabila kami ingin menghasilkan single pertama berjudul Telah Berubah. Kami berminat dengan lagu-lagu ciptaan komposer popular Indoensia, Tengku Shafick. Lantaran itu, kami merasakan tiada salahnya jika mahu terus berkarya di negara seberang, tambahan pula belum ada penyanyi duo/kembar di sana.

“Selepas itu, The Mirza meneruskan langkah dengan single kedua iaitu Jatuh-Jatuh Cinta yang merupakan gubahan oleh komposer dan finalis Indonesia Idol 2006, Ilham Irawan Basso. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi kami apabila lagu tersebut meraih kedudukan carta lima terbaik di beberapa buah stesen radio di Jawa Tengah,” kata Zaf.

Bercerita lebih lanjut tentang single kedua itu, Syaf menerangkan bahawa Jatuh-Jatuh Cinta hanya mengambil masa selama 10 minit untuk disiapkan sepenuhnya dengan sesi rakaman berjalan selama 4 jam.

Ujarnya, proses adunan dan mastering dilakukan selama seminggu sebelum menjadi sebuah naskhah nan indah untuk diperdengar buat halwa telinga audiens.

Sementara itu, promosi Jatuh-Jatuh Cinta kini sedang rancak dijalankan di Malaysia dan diuruskan oleh syarikat pengurusan bakat/acara, SukaSucre Creatives (SSC) kepunyaan cef selebriti dan penyanyi terkenal, Datuk Fazley Yaakob.

Mengakui sedikit gementar dalam ekspektasi melangkah ke belantara muzik tempatan, The Mirza menjelaskan karya Jatuh-Jatuh Cinta yang terisi lirik bahasa Indonesia diharapkan senang menerima respons daripada peminat di sini.

“Sudah tentu kami berharap agar pendengar dapat menerima single terbaharu ini seperti mana ia diterima di Indonesia, sekali gus mampu memeriahkan industri seni di tanah kelahiran kami.

“Besar harapan agar peminat terus menyokong karya seni kami baik di Indonesia mahupun Malaysia. Semoga impian melebarkan sayap ke negara lain juga dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun nanti,” ujar Syaf.

Peminat juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan terbaharu The Mirza dengan mengikuti mereka di Instagram menerusi akaun @themirzamusic, @syafmirza dan @zafmirza.

Pada masa sama, The Mirza kini sedang rancak mempromosikan single ketiga mereka, Lelah Mengalah di Indonesia dengan video muzik dimuat naik di YouTube (The Mirza) sejak 7 November lalu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend