EventHiburan

Misha Omar, Siti Sarah & Noryn Aziz Beradu Suara Di Istana Budaya

Tiga penyanyi wanita bervokal hebat iaitu Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz bakal beradu suara di pentas berprestij Istana Budaya menerusi konsert berskala besar, Konsert Soul Sisters.

Konsert julung-julung kali yang dibawakan oleh Edd Razhe Entertainment (ERE) ini akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 April 2019.

Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe berkata pemilihan tiga penyanyi itu dilihat bersesuaian dengan kehebatan vokal ketiga-tiganya yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Mereka bertiga memang pilihan pertama saya untuk Konsert Soul Sisters ini. Siapa yang dapat menafikan kehebatan vokal Misha, Sarah dan Noryn yang sememangnya mempunyai jiwa ketika mereka menyampaikan lagu.

“Dalam konsert ini, mereka tidak akan berlawan siapa yang paling hebat sebaliknya masing-masing akan saling bantu-membantu di antara satu sama lain,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Edd ditemui pada majlis sidang media Konsert Soul Sisters yang berlangsung di Acme Bar & Coffee, Pavilion Kuala Lumpur hari ini.

Konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu akan mengetengahkan beberapa segmen menarik selain persembahan mereka akan diiringi dengan 10 orang pemuzik berpengalaman di bawah pimpinan Datuk Nasser Abu Kassim.

Selain itu, vokal Misha, Sarah dan Noryn akan dipantau oleh pengarah vokal iaitu Datuk Syafinaz Selamat yang dipertanggungjawabkan untuk mencipta keharmonian suara di antara ketiga-tiga figura tersebut.

“Saya tidak melihat harga tiket sebagai sesuatu yang tidak munasabah. Ia sangat berpatutan apabila anda dapat melihat persembahan tiga penyanyi bersuara hebat dengan harga tiket seperti itu.

“Saya jamin anda akan terhibur dengan kelainan yang kami cuba bawakan dengan menggabungkan tiga penyanyi hebat ini di bawah satu bumbung,” kata Edd lagi.

Tiket-tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) akan mula dijual mulai esok menerusi www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button