Cerita ArtisHiburan

Mizz Nina Tidak Pernah Putus Asa Dapatkan Cahaya Mata

Walaupun sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pengacara dan aktivis kemanusiaan Shazrina Azman atau Mizz Nina, 38, tidak berputus harap untuk mendapatkan cahaya mata.

Menurut Mizz Nina, dia menyerahkan hal itu kepada rezeki Allah SWT dan mengharapkan peminat mendoakan yang baik-baik untuk dirinya dan suami, Noh Salleh, 33.

“Walaupun sudah tujuh tahun berkahwin, saya tidak sesekali menjadikan isu tidak mempunyai anak sesuatu perkara yang mendukacitakan saya. Ini kerana kehidupan kita tidak semestinya hanya akan lengkap sekiranya sudah menimang anak.

“Kesempurnaan dalam hidup yang kita cari adalah apakah bekalan yang akan kita bawa untuk ke akhirat. Namun begitu, itu bukanlah bermaksud saya berhenti berharap. Sebaliknya kami tetap berusaha, cuma tidak terlalu memikirkan mengenai hal itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Mizz Nina ditemui pada majlis sidang media Yasmin Mogahed Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Hijup, Mutiara Damansara hari ini.

Dalam pada itu, Mizz Nina juga mendedahkan bahawa dia sebelum ini pernah menjalani rawatan kesuburan IVF, namun tidak berjaya.

“Walaupun proses itu tidak berjaya, saya tidak sesekali berputus asa. Saya dan suami serahkan segala kepada rezeki Allah,” katanya.

Mizz Nina mendirikan rumah tangga dengan vokalis Hujan itu pada 1 Julai 2011 selepas beberapa tahun berkenalan rapat. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button