Cerita ArtisHiburan

Mona Allen Sudah Sedia Tawan Kembali Dunia Seni

Pernah mengacarakan program Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1999, pelakon Mona Allen berkata dia kini sudah bersedia untuk kembali memeriahkan industri hiburan.

Mula kembali aktif sejak dua tahun lalu, Mona atau nama sebenarnya, Muna Hafiraniza berkata, dia terpaksa melupakan seketika bidang seni kerana perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran terlebih dahulu.

“Kalau nak kata saya pendatang baharu, rasanya ia kurang tepat. Mungkinlah sebab saya berhenti sekejap, itu yang orang ingat saya baru muncul dalam bidang seni.

“Sebelum ini saya tidak bersedia lagi disebabkan masih bersekolah dan kini saya dah bersedia nak kembali aktif dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Monalisa di Hotel Pullman Putrajaya, baru-baru ini.

Menerusi drama adaptasi dari Korea Selatan itu, Mona digandingkan bersama Nazim Othman, Zara Zya dan Hafreez Adam. Monalisa yang mempunyai 80 episod akan disiarkan menerusi slot Tiara, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 20 Mac ini di saluran Astro Prima (105).

Mona yang membawakan watak antagonis bernama Mona berkata, dia sudah bersedia dengan kecaman penonton yang mungkin akan membenci karakter yang dibawakannya menerusi drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu.

“Saya dah sedia menerima kecaman peminat dengan watak jahat yang dibawakan. Tunggu masa sahaja orang panggil saya perempuan durjana jika melihatkan karakter jahat yang saya bawa dalam Monalisa,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai keakrabannya dengan pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim, Mona, 28, yang berdarah kacukan Melayu, Scottish dan Arab itu berkata dia enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Itu kena tanya Pekin, dan apa yang saya boleh beritahu hubungan kami sekadar kawan sahaja.

“Lagipun saya dah lama mengenali Pekin sebab dahulu kami sama-sama bermula dari bidang modelling,” ujarnya ringkas. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Mona Allen

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button