
Mus May, Oney Tampil Lagu Sarat Nasihat Berjudul We Fight
Sebuah lagu baharu berjudul We Fight yang menyaksikan paduan vokal dua vokalis bersuara tinggi iaitu Mus May dan Oney Lipan Bara dihasilkan sebagai menghargai semangat juang rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan pandemik Coronavirus (Covid-19).
Lagu bergenre rock ini turut mempamerkan kerjasama para pemuzik handalan yang terlibat dalam memberikan sumbangan mereka terhadap lagu yang diciptakan oleh Oney ini.
Antara pemuzik yang terlibat ialah Firdaus Mahmud selaku pemain keyboard, Fly Halizor (pemain bass), Ritz Metalasia (pemain gitar) dan Pae Nespa (pemain dram).
“Proses rakaman muzik dan vokal bermula 21 April hingga 23 April lalu manakala proses rakaman muzik video pula mengambil masa selama empat hari yang mana kami semua rakamkan bahagian sendiri di rumah masing-masing. Kemudiannya, Oney telah menyunting video tersebut yang telah dimuat naik di laman Youtube sejak 2 Mei lalu,” kata Firdaus.
Firdaus mewakili rakan pemuzik yang lain berharap lagu ini dapat memberikan semangat buat rakyat Malaysia selain turut berpesan agar semua pihak dapat mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan kerajaan dalam bersama-sama membasmi Covid-19. – KopiPlanet.com