• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Nabila Huda Kesal Artis Dilabel Jahat, Bawa Pengaruh Buruk

Tidak dinafikan kehidupan seseorang selebriti itu sentiasa menjadi perhatian peminat. Dengan kewujudan media sosial lagilah senang para peminat mahupun haters untuk meneroka sisi lain seseorang artis itu selain daripada kerja seni mereka sahaja.

Pelakon Nabila Huda Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Abil, 35, baru-baru ini ‘melampiaskan’ amarahnya terhadap netizen yang dikatakan terlalu suka mencampuri kehidupan peribadi selebriti.

Menerusi luahan di laman Instagram miliknya, Abil berkata sosial media kini sudah menjadi semakin menakutkan apabila terlalu ramai menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk kepuasan mereka.

“Saya tak sanggup untuk baca dan tengok rakan di dalam industri ditindas, dicaci di khalayak ramai, jahat, bawa pengaruh buruk, neraka tempat kami. Saya rasa ini sudah terlalu melampau. Tidak ada langsung kebaikan daripada kami yang bergelar retis ini. Macam mana mereka boleh berkata yang buruk-buruk tentang kami. Adakah peminat tahu bagaimana susahnya kami dalam melakukan pekerjaan?

“Macam mana pula kita yang bekerja keras, jujur dengan apa yang kita buat, sepenuh jiwa dan raga kita berikan untuk buat yang terbaik tapi di akhirnya yang dipertikaikan adalah keburukan dan kelemahan daripada kita (artis)? Dan kita biarkan mereka mencaci kita sana-sini tanpa tunjuk betapa terasnya hati kita ini. All this while kita buat yang terbaik, macam ini peminat buat kat kita? Tidak adillah..oh memang nak kena tunjuk yang baik je semua? Barulah disayangi rakyat Malaysia?

Dalam posting itu juga, Abil menyeru semua selebriti untuk tidak lagi berkongsi tentang hal peribadi mereka di laman sosial sebaliknya hanya memuat naik tentang kerja seni sahaja di medium tersebut.

“Korang dengan falsafah korang boleh pergi mampus! Kami pun manusia juga. Kami buat salah, kami buat perkara jahat, kami menyesal. Kami juga jatuh cinta dan lakukan banyak perkara untuk memastikan kami sentias gembira. Kami ada keluarga. Kami juga ada agama. Kami cuma manusia. Cuma bezanya adalah kami dikenali. Tapi itu tak bermaksud kami perlu jadi sempurna untuk anda.

“Kepada semua rakan-rakan saya yang bekerja keras dalam industri, yang orang tak pernah tahu berbelas jam kita bekerja setiap hari. Yang orang tak pernah tahu bila kita tak dapat gaji, kita tak makan. Yang orang tak pernah nampak waktu kita sedih, kita rasa gagal, yang orang taktau kita banyak berkorban dalam hidup ini untuk buat yang terbaik dalam skrin. Mereka (peminat) tak kisah langsung! Mereka tidak pernah nak tahu tentang apa kerja, projek filem terbaharu yang kini nak buat,” tulisnya.

“Peminat tidak berhak untuk mengenali diri kamu yang sebenar. Kita terlalu banyak berkongsi di laman sosial sampai dah jadi tabiat mereka untuk tahu tentang segala-galanya pasal kita dan sikut pun tak jaga perasaan kita, bila kita salah, bertubi-tubi kita kena caci, diaibkan depan orang ramai. Bukan tu je, siap tentukan kita masuk syurga atau neraka. Nak cerita pasal dosa dan neraka kita. Sudahlah sampai bila kita nak biarkan penulisan negatif tentang kita. Kami bukannya jahat sangat, kami bukan bawa pengaruh buruk, mereka yang nampakkan kita macam itu,” luahnya lagi.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga meminta agar selebriti tidak meminta maaf kepada peminat sekiranya mereka membuat sebarang kesalahan yang tidak melibatkan para peminat.

Sebaliknya, Abil berkata selebriti itu lebih perlu meminta maaf kepada ibu bapa, ahli keluarga mereka sendiri daripada memohon maaf pada peminat.

“Buat salah dengan hidup kita sendiri, minta maaf dengan ibu yang melahirkan kita, bapa atau keluarga. Minta maaf dengan Allah. Cukup. Fullstop,” katanya.

Posting yang dimuat naik sejak dua jam lalu itu setakat ini telah menerima lebih daripada 28,000 tanda suka serta lebih 1,400 komen daripada pengikut pelakon ini.

Rata-rata selebriti turut bersetuju dengan pendapat Abil dan kebanyakan mereka mengatakan Abil telah mewakili apa yang ingin disampaikan daripada lubuk hati mereka sendiri.

Antara yang menyukai pandangan Abil seperti Sharifah Amani, Fezrul Khan, Hael Husaini, Syazwan Zulkifly, Yasmin Hani, Nelydia Senrose, Zul Ariffin, Sherry Ibrahim, Elfira Loy, Nadiya Nisaa dan Sherry Al-Hadad. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend