Cerita ArtisHiburan

Nabila Huda Mahu Pupuk Rasa Kasih Sayang Terhadap Haiwan

Pelakon Nabila Huda tidak menganggap tindakannya memuat naik gambar bersama seekor anjing di laman Instagramnya mampu memberikan pengaruh buruk kepada pengikutnya.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil, tujuannya berkongsi foto tersebut adalah semata-mata ingin mematrikan kenangannya sepanjang percutian di New Zealand bersama ahli keluarganya selain meraikan perasaan kasih sayang terhadap haiwan.

“Saya tidak menganggap perbuatan itu memberi pengaruh buruk kepada sesiapa dan saya juga tiada masalah untuk kita berbuat baik dengan apa sahaja jenis haiwan. Anjing juga makhluk Allah.

“Ketika foto itu dirakamkan, saya dan anjing itu sama-sama dalam keadaan kering. Kalau dalam keadaan basah pun, bukankah kita boleh samak?

“Jadi bagi saya tidak perlulah kita hendak menjadikan perkara itu sebagai isu besar,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Foto swafoto Abil dengan seekor anjing daripada baka Serbian Husky menjadi pertikaian di kalangan pengikutnya malah ia turut mendapat perhatian daripada Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang turut ‘mengecam’ perbuatan Abil berkongsikan gambar tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abil berkata pihak berkaitan sepatutnya lebih memberikan perhatian terhadap gejala sosial di kalangan remaja dan belia yang semakin berleluasa daripada ‘sibuk’ membicarkan tentang gaya hidupnya.

“Kalau nak tahu, saya memang tidak pernah baca komen netizen. Saya jenis lepas dah ‘upload’ gambar memang saya biarkan sahaja.

“Kalau ada sesiapa yang hendak berikan komen atau pendapat, lebih baik mereka fokus pada masalah remaja hari ini yang semakin teruk dan membimbangkan.

“Ada yang bukan muhrim tapi sakan berpegangan tangan, berpelukan dan berciuman di khalayak ramai. Pada saya, isu macam ini yang patut lebih diberikan perhatian oleh mereka,” tegasnya lagi.

 

Sementara itu, pada malam kemuncak ASK 2019, Abil telah berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama menerusi drama Dia Tidak Berdosa terbitan JS Pictures Sdn. Bhd.

Abil berjaya menewaskan empat pencabarnya iaitu Sweet Qismina, Mimi Lana, Eyka Farhana dan Sherie Merlis. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button