Cerita ArtisHiburan

Azhan Rani Tidak Kecil Hati Dirinya Kurang Dikenali Ramai

Pelakon yang semakin mendapat perhatian menerusi drama Nur, Azhan Rani berkata dia sama sekali tidak berkecil hati sekiranya ada sesetengah peminat hiburan tempatan masih lagi tidak mengenali dirinya.

Sudah 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni lakon, Azhan menyatakan dia lebih suka sekiranya peminat lebih mengenali watak yang dilakonkan daripada dirinya sendiri.

“Saya tak peduli kalau orang tak kenal Azhan Rani sebab saya lebih suka dikenali kerana watak yang dilakonkan, itu memang niat saya sepanjang saya berlakon.

“Bila dikenali dengan nama watak yang dipegang, saya rasa lega macam dapat anugerah sebab saya tahu drama saya yang mana peminat tonton.

“Macam sekarang ini menerusi drama Nur watak Syed Hamidi dikenali, tetapi lama-lama saya tahu orang tidak akan bercakap lagi pasal ini sebab itu saya kena cari lagi watak-watak yang boleh mencabar kebolehan saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Azhan, 42, ditemui pada majlis pelancaran filem Bikin Filem di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini.

Menerusi filem terbitan Resilence Studios itu, Azhan memainkan peranan sebagai seorang pengarah. Filem itu turut dibintangi Scha Al-Yahya, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad, Azrel Ismail dan Sharifah Sakinah.

Walaupun sudah lebih sedekad bergelar anak seni, Azhan meluahkan bayaran yang diterimanya masih lagi sama seperti pada awal kemunculannya dulu.

“Saya masih lagi berjuang untuk meletakkan harga saya pada satu tahap yang selesa. Harga saya masih sama dan kadang kala ada yang bayar lagi rendah daripada kebiasaan yang saya dapat.

“Siapa yang tidak mahu gaji yang lebih tinggi, namun saya menggangap itu semua rezeki. Saya tidak pernah kecil hati sebab kalau saya ada perasaan macam itu, ia akan jatuhkan semangat dan motivasi diri saya,” ujarnya lagi.

Selepas selesai menjalani penggambaran Bikin Filem, Azhan akan terlibat dengan satu lagi penggambaran drama bersiri yang menjalani penggambaran di Cameron Highland pada penghujung bulan ini. – KopiPlanet.com

 

Kredit foto: Instagram Azhan Rani

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button