
Dul Jaelani Bawa Semangat Ahmad Dhani Dalam Konsert Reunion Dewa 19
Anak Ahmad Dhani, Dul Jaelani, 18, yang dipilih bagi menggantikan bapanya dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Fest Ari Lasso & Once Mekel bakal membawakan semangat bapanya yang merupakan pengasas dan ketua kumpulan popular Indonesia itu.
Menurut Dul, bapanya sempat menitipkan pesanan kepadanya agar memberikan yang terbaik sepanjang konsert itu berlangsung esok.
“Saya akan bermain keyboard mengiringi persembahan Dewa 19. Saya berbesar hati dapat sepentas dengan kumpulan lagenda ini.
“Ayah ada berpesan kepada saya ambil peluang ini untuk memperluaskan bakat saya dan dia memberikan sokongan dan semangatnya itu akan saya bawa ke dalam persembahan nanti,” katanya kepada KopiPlanet.com
Dul ditemui pada majlis sidang media Konsert Reunion Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, bekas vokalis Dewa 19, Ari Lasso tidak menafikan ketiadaan Ahmad Dhani sedikit ‘mencacatkan’ persembahan mereka. menyifatkan ketiadaan Ahmad Dhani memang dirasakan mereka.
“Kami memang terasa ketiadaan Ahmad Dhani lebih-lebih lagi dia merupakan pengasas Dewa 19 dan kita pun tahu kekuatan dia pada backing vokal dalam setiap lagu Dewa 19.
“Tapi apa-apa pun kami berharap dapat memberikan persembahan terbaik buat peminat setia yang sekian lama menyokong kami,” ujarnya.
Dewa 19 akan mempersembahkan 35 buah lagu dan kumpulan Andra & The Backbone akan membuat persembahan pembukaan pada malam konsert itu nanti.
Ahmad Dhani tidak berkesempatan menjayakan persembahan di Malaysia kerana telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan di atas kesalahan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.
Konsert Reunion Dewa 19 dianjurkan oleh Nizra Production. Ia bakal berlangsung selama tiga jam bermula 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam. – KopiPlanet.com



