Cerita ArtisHiburan

Tasha Shilla Tak Gila, Akui Pernah Alami ‘Mild Depression’

Pelakon Tasha Shilla atau nama lengkapnya, Natasha Sheila Abdul Razak, 32, mengakui dia pernah dituduh gila oleh segelintir pihak yang tidak mengetahui keadaan emosinya yang tidak stabil pada suatu masa dahulu.

Menurut Tasha, episod putus cinta dengan bekas kekasihnya dulu banyak menyumbang kepada penyakit kemurungan tahap sederhana (mild depression) yang pernah dialaminya.

“Saya sebelum ini pernah alami kemurungan emosi bila putus cinta dengan bekas kekasih. Pada masa itu saya memang sangat ‘down’ dan tak boleh kawal perasaan itu.

“Ia ibarat seperti orang kata bibir tersenyum, tetapi dalam hati menangis. Susulan itu, saya ada jumpa pakar motivasi bagi memulihkan semula semangat saya. Pakar motivasi itu pun cakap dengan saya sekarang ini ramai orang mengalami kemurungan, cuma tidak ramai yang menyedari mereka menghidap penyakit itu.

“Dia macam emosi tak stabil seperti secara tiba-tiba jadi sedih dan tak tahu macam mana nak mengawalnya. Disebabkan masalah itu, saya pernah dipanggil gila. Bagaimanapun, saya tak gila dan hanya mengalami kemurungan. Ia boleh dirawat sekiranya kita tahu macam mana nak dapat rawatan yang sebetulnya.

“Macam sekarang saya ada menghadiri sesi rawatan yang mana ia memakan masa selama empat jam dalam satu sesi. Rawatan itu menggunakan hipnosis yang menyebabkan kita berada dalam keadaan separa sedar dan kita akan cuba untuk memadamkan ingatan terhadap memori-memori yang pernah membuatkan kita ‘sakit’ dan sedih,” kata Tasha kepada KopiPlanet.com

Tasha ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung Parisfairies Scarves yang berlangsung di Greenhouse of Muir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Pernah mempunyai sejarah mengalami penyakit kemurungan telah membuka mata Tasha untuk lebih berkongsi informasi mengenai kesedaran penyakit itu kepada orang ramai.

Menurut Tasha, dia mahu membuka mata masyarakat agar melihat penyakit berkenaan dari sudut yang luas dan tidak menganggap individu yang menghidapnya sebagai seorang yang gila.

“Dengan status saya sebagai seorang ‘public figure’, saya berharap agar dapat beri kesedaran kepada orang ramai, malah saya sering berkongsi maklumat berkaitan penyakit ini menerusi entri di media sosial saya. Saya berharap mereka yang mengalaminya dapat mendapatkan rawatan menerusi saluran yang betul,” ujarnya lagi.

Seiring dengan kematangannya, Tasha berkata dia kini hanya mahu terus mempertingkatkan prestasi lakonannya dan cuba untuk mengelak daripada terpalit dengan sebarang kontroversi selepas ini.

“Saya kini lebih rasa tenang dan bahagia apabila bebas daripada kontroversi. Ia seiring dengan kematangan saya sejak menceburkan diri dalam bidang seni.

“Belajar daripada pengalaman lalu, saya kini hanya mahu mempertingkatkan diri dalam bidang lakonan dan kurangkan kontroversi. Ini pendekatan yang saya ambil sekarang,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Tasha Sheila

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button