
Gemar Cabar Diri, Farah Nabilah Sudah Lali Dengan Komen Negatif
Rentetan teruk di kecam oleh netizen berhubung pengacara kayu dan kaku dalam MeleTOP baru-baru ini selaku pengacara gantiaan kepada Neelofa yang sedang bercuti, pelakon Farah Nabilah mengakui dirinya kini sudah lali dengan komen-komen tersebut.
Menurut Farah, 27, dia mengakui gemar melakukan sesuatu yang baru dan menyahut cabaran yang ada bagi mengembangkan lagi sayapnya dalam bidang hiburan.
“Sudah pasti saya gementar semasa mengacara MeleTOP, tetapi saya terima tawaran ini sebagai cabaran sebab sampai bila tidak mahu cabar diri kita. Selalu kalau berlakon kita ikut skrip, ini pun saya ikut skrip cuma bila mengacara macam ini rupanya kita kena secara spontan. Kalau tengok abang Nabil dia sudah biasa.
“Saya takut juga tersalah cakap nanti kena kritik pula. Namun ini pengalaman yang bagus sebab pertama kali. Saya tidak kisah dengan komen netizen janji pengalaman itu yang penting. Sekarang saya macam sudah lali dengan komen negatif itu dan kalau saya pentingkan apa mereka cakap, saya tidak berlakon pun,” ujarnya kepada KopiPlanet.com.
Farah ditemui pada sidang media Showcase In Love with Farah Nabila & Friends bagi misi kemanusiaan ADRF Malaysia yang berlangsung di Tanjong Lounge, PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, selaku duta kepada misi kemanusiaan ADRF yang bakal berlangsung 28 April ini, Farah turut melakukan cabaran baru kerana bakal mendendangkan dua buah lagu menerusi showcase istimewa yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bermula pukul 3 hingga 6 petang.
“Ini pertama kali juga saya akan menyanyi secara live nanti bersama rakan-rakan artis yang lain. Saya macam biasa suka mengambil cabaran tersebut dan pihak ADRF sendiri minta saya untuk menyanyi sebab kalau ikutkan menjual baju dan sebagainya untuk kumpul dana macam sudah biasa dan mereka mahu lakukan kelainan.
“Sudah pasti saya gementar hendak menyanyi depan orang ramai dan saya akan masuk kelas vokal minggu depan. Lagu yang bakal dinyanyikan adalah kelmarin dari kumpulan Seventeen dan I’ll Never Love Again dari Lady Gaga. Kita buat ini untuk untuk kumpul dana,” katanya.
Terbaharu, selain showcase yang bakal diadakan nanti, Farah bakal bergandingan bersama Fikry Ibrahim menerusi slot Akasia Tv3 Mac ini. Selain drama Farah juga membintangi sebuah filem sulungnya tidak lama lagi.
Harga tiket Mini Showcase ‘In Love With Farah Nabilah & Friends’ sudah mula dijual dengan harga RM350 (VIP), RM280 (GOLD) dan RM180 (Silver) dan sebarang info lanjut boleh hubungi nombor tertera; 013-3117021/017-6498709. – KopiPlanet.com
Artikel oleh: Fatin Marzuki
Pelajar Praktikal Puncak Perdana



