EventHiburan

Hujan & Masdo Beradu Kehandalan Dalam Satu Pentas Oktober Ini

Dua buah kumpulan Hujan dan Masdo bakal berentap dalam sebuah konsert pada 6 Oktober ini bertempat di Maeps, Serdang.

Merupakan kolaborasi pertama, kedua-dua kumpulan nyata tidak sabar untuk memberikan aksi persembahan mantap dan bertenaga buat peminat mereka.

Bercakap mengenai konsert gabungan itu, vokalis Hujan Noh Salleh berkata kolaborasi ini bukan bertujuan untuk saling bersaing di antara mereka sebaliknya hanya ingin menghiburkan peminat yang bakal hadir pada hari tersebut.

“Hujan dah lama tak buat konsert dan ketika pihak penganjur cadangkan kami untuk bergabung dengan Masdo, memang kami tidak berfikir panjang terus ambil peluang ini.

“Tiada istilah nak berlawan ke apa, sebaliknya ini adalah peluang untuk Masdo merasai pengalaman menjayakan konsert berskala besar. Yang penting kami nak Masdo tunjukkan bakat dan apa yang mereka ada,” kata Noh kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis santai bersama media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk konsert kali ini, Hujan yang dianggotai Noh, Am, AG Coco dan Izzat akan mempersembahkan seleksi lagu hits mereka seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Aku Skandal dan Dugaannya.

Sementara itu, Masdo pula menyifatkan peluang yang diberiini sebagai satu kenangan paling manis dalam perjalanan karier seni apabila dapat berkongsi satu arena dengan idola mereka.

Menurut vokalisnya, Ali, dia sangat teruja untuk membuat persembahan memandangkan kumpulan Hujan merupakan idola mereka sejak sekian lama.

“Ini merupakan antara satu daripada impian kami telah dimakbulkan untuk bermain satu pentas dengan Hujan.

“Kami memang sudah tidak sabar dan pada konsert itu nanti kami turut menyelitkan segmen penghargaan khas buat kumpulan indie tempatan.

“Kami ingin menyajikan sesuatu yang tidak boleh dijangka oleh penonton, bersesuaian dengan jumlah wang dilaburkan mereka bagi membeli tiket,” katanya.

Masdo yang membawakan genre pop Melayu era 1960-an turut dianggotai Putu Ceri sebagai pemain bass, Asmawi (gitaris) dan Am (pemain drum).

Ketika ini, tiket Rock Zone berharga RM200 yang membolehkan peminat beramah mesra bersama kedua-dua kumpulan itu sudah habis dijual.

Maklumat lanjut mengenai konsert dan jualan tiket RM150, RM100 dan RM50 boleh didapati dengan melayari ilassotickets.com atau menghubungi talian 03-21706333 dan 010-3837552. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button