
Kumpulan pop popular era alaf baru, Ruffedge bakal kembali memeriahkan industri hiburan dengan konsert ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu yang akan berlangsung pada 4 Ogos ini akan diadakan di KL Live bermula jam 9 malam.
Menurut Sein, konsert ini sebagai hadiah dan penghargaan buat peminat setia mereka selepas hampir 11 tahun berehat serta menafikan mereka pernah berpecah, sebaliknya sepanjang tempoh ‘menghilang’, mereka masing-masing fokus pada kerjaya lain.
“Selepas 20 tahun penubuhan, kami yakin sekarang adalah masa yang sesuai untuk adakan konsert berskala besar. Kami tak pernah mengadakan konsert sebelum ini. Kami kumpul pengalaman dan lebih matang jadi memang perancangan ini cukup baik untuk kemunculan semula.
“Kami tak pernah berpisah cumanya masing-masing fokus pada kerjaya sendiri. Walaupun 11 tahun tak berada di atas satu pentas, tetapi kami memang selalu berjumpa di luar,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Ruffedge ditemui pada majlis sidang media Konsert Ulang Tahun Ke-20 Ruffedge di Black Box, Publika, Kuala Lumpur hari ini. Mereka sebelum ini popular dengan lagu Bila Rindu, Tipah Tertipu dan Lemas dianggotai Azan, Sein, Cat Farish, Zain dan Mode.
Menganggap usia bukan penghalang untuk mereka mengadakan konsert, Mode berkata mereka berlima sudah bersedia untuk menghiburkan peminat.
“Kami berada pada kemuncak prestasi dan InsyaAllah segala komitmen untuk konsert ini kami akan utamakan. Yang penting kami perlu lebihkan stamina agar kekal bertenaga,” katanya.
Konsert ulang tahun berkenaan dianjurkan MRS Production dan KLP Creative. Tiket-tiket berharga RM138, RM163, RM213, RM223 dan RM273 akan mula dijual mulai Jumaaat ini menerusi laman web www.ticketpro.com.my atau talian hotline 03-78807999. – KopiPlanet.com