
Nora Danish Yakin Mampu Imbangi Keluarga, Kerjaya & Perniagaan
Pelakon popular Nora Danish meluahkan keyakinan dirinya untuk dapat mengimbangi tumpuannya terhadap kerjaya seni, keluarga dan peniagaannya.
Menurut Nora, dia bersyukur kerana memiliki seorang suami yang sangat banyak membantunya dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga mereka.
“Sudah menjadi impian saya untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya serta menjadi isteri dan ibu yang baik. Pada masa sama suami juga sangat memahami apa yang saya impikan.
“Dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga, kami sama-sama bekerjasama. Misalnya, kadang-kadang suami juga akan tolong tukarkan lampin, beri susu atau tidurkan bayi kalau saya sibuk,” ujarnya.
Nora ditemui KopiPlanet.com ketika majlis pelancaran salun kecantikan Karva Salon For Ladies by Nora Danish yang berlangsung baru-baru ini.
Karva Salon For Ladies yang terletak di G Village, Desa Pandan itu merupakan perniagaan terbaharu yang diceburi pelakon berkenaan setelah memiliki perniagaan Kafe Kopi XOXO sebelum ini.
Dalam pada itu, Nora juga memberitahu buat masa ini dia masih lagi belum berhasrat untuk meninggalkan karier lakonan kerana ingin kekalkan populariti bagi mengukuhkan lagi apa yang dibuat sekarang.
“Lagipun berlakon adalah jiwa saya dan saya mula dikenali ramai menerusi bidang lakonan. Insyaallah, selepas raya nanti saya akan shooting sebuah drama bersiri.
“Saya menerima tawaran berlakon drama kerana dah lama tak muncul di kaca televisyen. Lagipun ada beberapa tawaran lain yang diterima, namun saya perlu pilih drama yang mampu beri impak kepada penonton,” jelasnya.
Sementara itu, menceritakan tentang pembabitannya dengan perniagaan salun kecantikan, Nora memberitahu semuanya bermula apabila dia berjumpa dengan pemilik Karva di Singapura iaitu Roza.
Ujarnya, semasa menjayakan majlis di Singapura, dia kerap berjuma dengan pemilik Karva tersebut dan akhirnya tercetus idea untuk membukanya di Malaysia.
“Di Singapura sahaja sudah ada tiga cawangan yang dibuka dan istimewanya salon ini kerana ia khusus untuk wanita. Jadi, ia mampu memberi keselesaan kepada pelanggan, terutamanya buat wanita yang berhijab.
“Selain itu, produk-produk yang digunakan pula adalah berasaskan organik dari Jerman dan Perancis. Itu yang membuatkan saya berminat untuk menjalankan perniagaan ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com