Cerita ArtisHiburan

Noryn Aziz Cuba Ubah Genre Tarik Lebih Ramai Peminat

Penyanyi berentak jazz terkenal tanah air, Noryn Aziz menyatakan dia cuba untuk membuat perubahan genre muzik yang dibawa bagi menarik lebih ramai peminat.

Mengakui ia merupakan satu cabaran yang agak sukar, namun Noryn menyatakan bahawa ia merupakan langkah terbaik dalam karier nyanyiannya.

“Saya akui lagu-lagu jazz kurang mendapat sambutan, terutama sekali untuk pasaran pendengar Melayu. Jadi, saya ambil pendekatan untuk beralih ke genre muzik yang lebih komersial seperti lagu balada.

“Namun begitu, ia tidak bermakna saya tinggalkan terus jazz kerana sudah mempunyai peminat tersendiri. Lagipun saya masih banyak mendapat tawaran menyanyi untuk acara korporat dan sambutan yang diterima sangat baik,” ujarnya.

Penyanyi itu berkata demikian ketika ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran filem Kalla yang berlangsung pada minggu lalu.

Menurut Noryn, sebagai langkah permulaan dia telah bersetuju untuk menyanyikan sebuah lagu duet bersama Hazama berjudul Hidup Atau Mati untuk lagu runut bunyi (OST) filem Kalla.

Noryn berkata, dia sangat teruja untuk menyanyikan lagu berentak Balada itu kerana ia merupakan kali pertama dia dapat menyanyikan lagu duet.

“Dahulu pernah juga ada perancangan untuk nyanyi lagu duet, tetapi akhirnya tak menjadi. Antara masalahnya adalah kekurangan bajet.

“Selain itu, ini kali pertama saya nyanyi untuk sebuah OST. Sebelum ini, tak ada mana-mana pihak yang tawar untuk nyanyi OST, mungkin sebab ramai yang rasa lagu jazz kurang sesuai,” luahnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini, Noryn memberitahu seperti biasa dia akan menyambutnya di Kuala Lumpur bersama-sama dengan anak dan suami.

“Untuk persiapan semuanya dah selesai dan sambutan tetap sama seperti sebelum ini. Namun, yang paling menggembirakan apabila anak saya, Raja Bariq Umar Shah dah makin petah bercakap,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button