FilemHiburan

OST Anak Perjanjian Syaitan, ‘Suara’ Meremang Bulu Roma!

Setiap filem pastinya akan lebih menarik sekiranya disertakan dengan lagu runut bunyi (OST) yang dapat memberikan bayangan awal kepada penonton tentang jalan cerita sesebuah naskhah filem itu.

Terbaharu, filem terbitan Screen Studio Sdn. Bhd, Anak Perjanjian Syaitan menampilkan OST berjudul Suara nyanyian Siti Sairah Tarudin yang mampu membangkitkan mood seram anda yang pastinya sudah tidak sabar mahu menantikan karya arahan Helmi Yusof ini di pawagam.

Melodi lagu ini digubah oleh komposer Ayen Crossfire manakala liriknya merupakan nukilan bersama Ayen Crossfire dan Mohd Edane.

Mengambil latar belakang di sebuah hutan di Kuang, Selangor, muzik video yang diarahkan oleh Ahmad Mustadha ini turut diselang-seli dengan babak-babak menarik Anak Perjanjian Syaitan yang dibintangi Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong.

Filem ini diperkuatkan lagi dengan gaya lakon cemerlang Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor dan Azlan Komeng, naskhah hebat ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button