
Kumpulan Padi Jayakan Konsert Di KL Live 30 Jun Ini
Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan buat penyanyi dari seberang untuk mengadakan konsert di negara ini.
Terbaharu, kumpulan popular Indonesia, Padi dijadualkan bakal mengadakan Konsert Padi Reborn Live In KL pada 30 Jun ini bertempat di KL Live.
Konsert yang dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd itu dijadualkan akan berlangsung selama satu setengah jam itu.
Padi yang popular dengan seleksi lagu seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai menjanjikan satu persembahan istimewa buat peminat setia mereka yang digelar Sobat Padi.
“Kami cukup terharu kerana buat julung kalinya akan menggunakan nama Padi Reborn untuk konsert solo nanti.
“Persembahan di Malaysia ini juga menjadi lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah jemu memberikan sokongan walaupun ketika Padi hilang seketika dan kini kami muncul kembali,” kata Piyu selaku pemain gitar kumpulan itu.
Padi turut dianggotai Fadly sebagai vokalis, Ari (pemain gitar), Rindra (pemain bass) dan Yoyo (pemain drum).
Konsert ini turut akan dimeriahkan dengan penampilan artis pembuka tirai iaitu kumpulan tempatan yang semakin meningkat namanya dalam industri iaitu Pitahati.
Tiket-tiket berharga RM290 (Meet & Greet) dan RM179 (Platinum) boleh didapati dengan melayari laman web www.buytickets.com.my. – KopiPlanet.com



