Cerita ArtisHiburan

“Paparan Di IG Tidak Gambarkan Kehidupan Sebenar Saya” – Elyana

Semua sudah maklum akan penyakit kanser tahap empat yang dihidapi penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana, 31. Pendedahannya menerusi program Gegar Vaganza tahun lalu itu memberikan kejutan buat kesemua peminat hiburan tanah air.

Pada awalnya kebanyakan orang berasa simpati dengan nasibnya itu namun sejak akhir-akhir ini banyak pihak melahirkan perasaan yang mereka seolah-olah tidak percaya Elyana menghidapi penyakit kronik itu hanya kerana dia kelihatan normal dan tidak seperti orang sakit yang lain seperti yang dipaparkan di laman Instagramnya.

Menjawab pertanyaan itu, Elyana berkata, kehidupan di laman sosial sebenarnya tidak boleh langsung disamakan dengan kehidupan realiti seseorang itu.

“Bagi saya gambaran yang dipaparkan di media sosial 80 peratus tidak sama dengan kehidupan realiti seseorang itu. Kita tak letak benda-benda yang tidak menggembirakan di laman sosial.

“Untuk saya pula, saya kena tunjuk benda-benda yang baik agar ia dapat beri insprirasi untuk mereka yang sakit di luar sana. Tapi, realitinya mereka tidak tahu macam mana kehidupan sebenar saya. Sebenarnya, hidup ini bukan senang itu yang boleh saya katakan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Elyana ditemui pada majlis tayangan perdana filem Dukun di TGV KLCC, baru-baru ini. Dukun arahan Dain Said akhirnya dipertontonkan kepada umum selepas 12 tahun dihasilkan.

Selain Elyana, filem itu turut dibintangi Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Namron, Bront Palarae, Chew Kin Wah dan Sofi Jikan.

Ketika ditanya perasaannya bergandingan dengan nama-nama besar, Elyana berkata dia sangat berbangga apabila dapat digandingkan bersama-sama pelakon handalan tanah air yang sangat dikaguminya itu.

“Mereka ialah idola-idola saya yang mana sejak daripada kecil saya dah tonton lakonan mereka. Di sebalik rasa rendah diri bergandingan dengan mereka, saya juga turut bangga diberi peluang dengan pelakon-pelakon hebat ini. Mereka banyak beri tunjuk ajar sepanjang kami menjalani penggambaran 12 tahun lalu.

“Saya ingat lagi, sebulan sebelum penggambaran saya menghadiri latihan lakonan bersama Datin Paduka Umie bagi memantapkan lagi lakonan dan penjiwaan kami untuk filem ini.

“Selepas 12 tahun saya gembira filem ini akhirnya dapat dipertontonkan kepada umum,” katanya yang memegang watak Nadia menerusi filem yang diedarkan oleh Astro Shaw itu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button