
Peminat Malaysia Pendengar Pertama Lagu Baharu Sheila On 7
Kumpulan Indonesia, Sheila On 7 (So7) yang sudah bertapak selama 22 tahun akan sekali lagi menggegarkan peminat di Malaysia menerusi konsert Sheila On 7 Live In Kuala Lumpur pada 10 Februari ini di StarXpo, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur.
Menurut penganjur Shiraz Projects Sdn. Bhd., So7 merupakan band pilihan untuk dibawakan ke Malaysia sebagai hadiah kepada peminat setia band itu selain berpandukan hasil survey yang dijalankan pihak mereka.
Penerbit Eksekutifnya, Shiradzeen Karim berkata, berdasarkan maklum balas yang dijalankan, kebanyakan peminat menginginkan band yang popular dengan lagu Sephia itu untuk kembali beraksi di tanah air.
“Walaupun baharu saja melakukan konsert dua tahun lalu di Malaysia, namun daripada hasil survey yang pihak kami jalankan, kebanyakan peminat mahukan So7 datang lagi untuk menghiburkan mereka.
“Jadi, kami yakin peminat setia mereka akan datang memenuhkan konsert ini kelak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur di G-Tower, Kuala Lumpur hari ini.
Untuk konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu nanti, band yang dianggotai Duta selaku vokalis, Eross (gitaris), Adam (pemain bass) dan Brian (pemain drum) akan mempersembahkan seleksi 20 lagu hits mereka.
Antara lagu-lagu hits yang bakal diperdendangkan seperti Sephia, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Pria Terhebat dan Seberapa Pantas.
Sementara itu, salah seorang anggota So7, Adam yang mewakili kumpulannya memberitahu peminat di Malaysia cukup bertuah apabila menjadi yang pertama dapat mendengar single terbaharu mereka.
“Kami akan mainkan semua lagu-lagu popular khas untuk peminat di sini selain sebuah single baharu kami, Film Favourite yang akan didendangkan buat pertama kalinya di konsert ini nanti,” kata Adam.
Sidang media hanya dihadiri Adam dan Eross manakala Duta dan Brian tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain.
Ketika ditanya tidakkah mereka berasa bosan kerana sering menyanyikan lagu yang sama setiap kali konsert biarpun mempunyai banyak lagi lagu yang boleh didendangkan, bagi mereka tiada istilah bosan.
“Kami tak pernah bosan memainkan lagu sendiri, malah kami berbesar hati apabila peminat sering kali request lagu yang sama walaupun kami mempunyai banyak lagu-lagu lain.”
“Bagaimanapun, dalam mana-mana persembahan kami akan tetap selitkan juga lagu-lagu yang kurang didendangkan agar ia mesra di telinga peminat,” ujar Eross pula.
Tiket-tiket dijual dengan harga RM315 (Meet & Greet), RM215 (Diamond), RM165 (Platinum), RM125 (Gold) dan RM85 (Silver) dan ia boleh didapati menerusi www.myticket.asia.
Peminat yang membeli tiket RM315 berpeluang menghadiri sesi ‘meet & greet’ bersama So7 selain akan mendapat barangan eksklusif secara percuma. – KopiPlanet.com



