FilemTerkini

Penerbit Jodoh Syaitan Berani Pertaruh Sofi Untuk Teraju Utama

Tampil dengan filem pertama, syarikat produksi DA Motion Media percaya Jodoh Syaitan dapat menarik perhatian penggemar filem seram tempatan.

Menurut pemiliknya, Mokharul Shamsul Mokhtar, dia yakin filem Jodoh Syaitan yang diterbitkan syarikatnya mampu bersaing bersama-sama dengan filem-filem seram lain di luar sana.

“Sebagai sebuah syarikat produksi yang baharu bertapak, kami mengambil pendekatan dengan menerbitkan genre selamat iaitu seram. Ini berdasarkan pemerhatian saya terhadap minat peminat tempatan yang lebih menggemari filem-filem bercorak seram.

“Dengan berbekalkan bajet yang tidak melebihi RM1 juta, saya rasa filem seram yang paling sesuai untuk DA Motion Media teruskan untuk filem pertama. Kalau nak buat filem aksi, ia memerlukan modal yang agak tinggi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Mokharul ditemui pada majlis Rumah Terbuka DA Motion Media dan pelancaran filem Jodoh Syaitan di Lake Park Residence, Selayang baru-baru ini.

Percaya dengan kemampuan Ismail Bob Hasim mengarahkan filem ini, Mokharul berkata dia sudah lama mengenali Bob dan mengetahui cara kerja Bob yang sangat teliti.

“Saya dan Bob sudah lama saling mengenali dan tahu cara kerjanya. Jadi, saya yakin dengan kemampuannya untuk menghasilkan filem ini.

“Untuk pemilihan pelakon pula, ia merupakan hasil perbincangan kami berdua dan gembira kerana mendapat barisan pelakon yang sememangnya berbakat besar dan ada aura tersendiri,” katanya.

Jodoh Syaitan bakal diterajui Sofi Jikan, Aprena Manrose, Wan Hanafi Su, Abam Bocey, Jay Iswazir dan Fauziah Nawi.

Ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Sofi sebagai pelakon utama filem ini, Mokharul tidak melihat kontroversi yang melanda aktor itu sebagai salah satu halangan baginya untuk menawarkan watak tersebut kepada Sofi.

“Saya memang berminat untuk mengambil Sofi berlakon sebab saya suka kualiti kerja dia yang bagus. Hal-hal peribadi dia itu belakang kira. Itu kita tak campur.

“Senang bekerja dengan Sofi sebenarnya sebab dia orangnya jenis kalau kita hormat dia, dia akan 10 kali lebih hormat pada kita.

“Selain itu Sofi juga seorang pelakon yang boleh bawa pelbagai karakter sebab itu abang berani ambil dia. Kalau sebelum ini kita sering tengok dia dalam filem-filem aksi, sesekali kita tengok pula macam mana dia bawa seorang lelaki romantik. Adalah kelainannya di situ,” katanya lagi.

Jodoh Syaitan bakal memulakan penggambaran pada 18 Julai ini dan lokasinya mengambil tempat di sekitar Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button