Perselisihan Faham Dan Ego Punca Padi ‘Berpisah’ 7 Tahun
Kumpulan popular Indonesia, Padi mengakui perselisihan faham dan sikap ego merupakan punca kenapa band itu meninggalkan seketika dunia seni sejak tujuh tahun lalu.
Band yang ditubuhkan pada tahun 1998 itu dianggotai Fadly sebagai vokalis, Piyu (gitaris), Ari (gitaris), Rindra (bassist) dan Yoyo (drummer).
Menyingkap semula mengenai hal itu, Fadly berkata mereka kini sudah meletakkan soal ego ke tepi bagi kembali menakluk peminat dengan kemunculan semula band tersebut dengan nama baharu, Padi Reborn.
“Biasalah dalam sesebuah kumpulan pasti ada sahaja perselisihan faham. Masing-masing mempunyai ego yang sangat tinggi.
“Selama tujuh tahun masing-masing membawa diri, pelbagai cabaran yang ditempuhi. Akhirnya kami nekad mengenepikan perasaan ego agar dapat kembali semula ke rumah lama (kumpulan Padi) supaya dapat terus berkarya untuk peminat kami,” kata Fadly kepada KopiPlanet.com.
Padi ditemui pada majlis sidang media Padi Reborn Exclusive Live In KL di Hotel Royal, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Ari dan Piyu manakala Yoyo dan Rindra tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Bersyukur diberi kesempatan untuk kembali bermain bersama, Ari berkata, Padi Reborn cuba untuk menjadi contoh kepada kumpulan-kumpulan lain dari segi persahabatan agar jangka hayat sesuatu kumpulan itu bertahan lama.
“Kalau diperhatikan jarang sesuatu kumpulan kekal lama dengan ahli-ahli asal mereka. Namun dengan Padi, alhamdulillah selepas 20 tahun kami masih lagi kekal berlima dengan ahli asal yang sama.
“Kami cuba jadi contoh dari segi itu, sebabnya kami berlima sudah ibarat seperti adik-beradik. Walaupun sudah terpisah tujuh tahun, rasa rindu yang menebal membuatkan kami kembali semula sehinggalah terhasil nama baharu Padi Reborn,” katanya.
Menzahirkan perasaan teruja untuk beraksi di hadapan peminat setia mereka pada 30 Jun ini di KL Live, Padi Reborn akan menyanyikan seleksi 16 buah lagu hits mereka menerusi konsert berdurasi selama satu setengah jam.
“Kami teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat pada 30 Jun ini. Pastinya kami akan mempersembahkan yang terbaik selepas tujuh tahun tidak beraksi bersama.
“Antara lagu-lagu yang pasti akan kami dendangkan seperti Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai,” kata Piyu.
Konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL dianjurkan oleh Qee Communication. Tiket-tiket berharga RM179 dan RM290 (sesi meet & greet) sudah mula dijual menerusi laman web www.buytickets.com.my. – KopiPlanet.com



