• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Persembahan Saya Bukan ‘Attack’ Mana-Mana Pihak” – Sufian Suhaimi

Penyanyi Sufian Suhaimi menjelaskan konsep persembahan yang dijayakannya menerusi lagu Di Matamu di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) sama sekali tidak berniat untuk ‘menyerang’ mana-mana pihak.

Menurut Sufian, 27, persembahan yang berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik AJL 33 itu adalah sekadar interprestasinya terhadap maksud lirik sedih lagu tersebut yang sering kali dikaitkan dengan kisah putus tunangnya sebelum ini.

“Lagu Di Matamu sering dikaitkan dengan kisah putus tunang saya walaupun sudah berkali-kali saya cakap lagu ini memang dah dihasilkan sebelum kisah saya putus tunang berlaku.

“Bagaimanapun, kalau ada mana-mana pihak terasa hati atau terguris, saya minta maaf. Ia hanyalah sebuah persembahan semata-mata,” katanya kepada KopiPlanet.com

Persembahan Di Matamu menggunakan props pelamin dan di akhir lagu, penyanyi itu dilihat duduk di atas pelaminan seorang diri seolah-olah menggambarkan kisah peribadi penyanyi itu yang sebelum ini melalui episod putus tunang dengan pelakon Elfira Loy.

Susulan persembahan itu, Elfira turut ada memuat naik sebuah status di laman Twitter yang mendoakan kemenangan penyanyi itu di AJL agar ia dapat melenyapkan ‘penderitaan’ Sufian.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Sufian berkata, “Saya ucap terima kasih kepada dia sebab doakan yang baik-baik untuk saya, saya rasa niat itu baik.”

“Namun dalam banyak-banyak komen, pastinya komen daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza lebih menarik perhatian saya (pujian Siti terhadap persembahan Sufian) sebab bagi saya isu tweet sindir menyindir ini adalah perkara remeh dan ia bukan lagi menjadi perhatian saya.

“Saya rasa banyak pihak dah nampak yang saya dah move on. Dalam kalangan peminat dan ahli keluarga saya sendiri pun mereka nampak benda itu.

“Persembahan di AJL bukanlah persembahan berkisarkan kisah peribadi saya, tetapi ia adalah lagu sedih dan apa yang saya cuba buat adalah untuk menyampaikan cerita sedih itu supaya sampai ke hati penonton.

“Kalau bercakap mengenai rekaan pelamin yang seolah-olah sama, saya rasa ia hanya kebetulan sahaja kerana saya memang tidak terlibat langsung dengan rekaan props persembahan,” jelasnya.

Lagu Di Matamu memenangi kategori Persembahan Terbaik hasil undian daripada peminat. Dengan kemenangan itu, Sufian berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan sebuah telefon Samsung Galaxy A9. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend