
Memilih Malaysia sebagai lokasi pertama konsert jelajah bagi mempromosikan album terbaharu mereka Evolve, Imagine Dragons ternyata memukau penonton dengan persembahan penuh bertenaga di Stadium Malawati, Shah Alam Sabtu lalu.
Dihadiri lebih 10,000 peminat, band yang berasal dari Las Vegas, Amerika Syarikat ini cukup mempesona dengan memperdendangkan lebih daripada 20 buah lagu dalam konsert yang berlangsung selama 100 minit itu.
Imagine Dragons yang dianggotai Dan Reynolds selaku vokalis, Wayne Sermon (gitar), Ben McKee (bass dan keyboard) dan Daniel Platzman (dram) melahirkan keterujaan mereka dapat menghiburkan peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong kumpulan itu sejak ia ditubuhkan pada 2008.
Antara lagu hits yang dimainkan pada konsert sulung mereka di negara ini adalah seperti Demons, Top of The World, Thunder, It’s Time dan Whatever It Takes.
Yang paling menjadi tumpuan pada malam itu tentunya single terbabaru mereka, Believer yang turut di’sing along’ semua penonton sehingga bergemuruh satu stadium! Sangat memukau!
Yang menariknya konsert itu kelihatan cukup ‘hidup’ dengan mainan sistem pencahayaan yang sungguh mantap. Ia berkelip seiring dengan getaran rentak muzik yang dipersembahkan mereka.
Untuk sesi kedua, Imagine Dragons kemudiannya menukar suasana stadium dengan persembahan akustik menerusi lagu I Bet My Live dan Bleeding Out.
Sebelum mendendangkan lagu Demons, Dan sempat mencuri sedikit masa dengan berkongsi mengenai masalah kemurungan yang pernah dihadapinya suatu ketika dahulu.
Menurutnya, kemurungan bukanlah suatu perkara yang remeh dan sempat menasihati penonton yang senasib dengannya untuk segera mendapatkan pertolongan.
Sebelum melabuhkan tirai, Dan mewakili rakan-rakannya mengucapkan penghargaan kepada peminat di Malaysia.
“Kami menggendalikan sendiri akaun laman sosial dan daripada situ kami selalu dapat komen yang mengatakan “Datang ke Malaysia”. Kami tak pernah lupakan anda.”
“Akhirnya, impian itu tercapai dan kami sangat bertuah dapat memijak negara ini. Kami dilayan dengan begitu baik dan kamu semua memang mengagumkan,” katanya.
Menutup persembahan penuh bertenaga, band itu kemudiannya melantunkan lagu yang meledakkan nama mereka di Malaysia iaitu Radioactive dengan iringan dram besar yang menjadi identiti kumpulan tersebut.
Selepas Malaysia, Imagine Dragons akan meneruskan sesi jelajah Asia di Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan dan China.
Imagine Dragons Live in Malaysia dibawakan oleh PR Worldwide dengan kerjasama Malaysia Major Events. – KopiPlanet.com