
Pitahati Janji Kelainan Dalam Konsert Mini Di DPAC Esok
Kumpulan Pitahati bakal mengadakan sebuah konsert mini bertempat di Damansara Perdana Arts Centre (DPAC), Ahad ini bagi memperlihatkan kehebatan kumpulan itu mendendangkan barisan lagu dalam album terbaharu berjudul Selamat Datang Ke Panggung.
Pitahati yang ditubuhkan pada 2011 ini dianggotai Ilham, Zahar, Masrin, Hidayat dan Yasin. Tampil dengan imej tersendiri, kumpulan ini menitikberatkan unsur-unsur bunyian yang keluar daripada instrumen masing-masing.
Persembahan yang dirangka sendiri oleh mereka ini bakal memuatkan beberapa perubahan terutamanya dari segi konsep visual, pencahayaan, idea lakon dan prop yang bakal mengiringi persembahan mereka.
Antara kelainan dan keunikan yang akan dipersembahkan Pitahati pada konsert kali ini, mereka bakal menyajikan sentuhan lakon teatrikal (seni lakonan) yang seiring dengan lirik lagu yang terkandung dalam album tersebut.
Tiket-tiket dijual pada harga RM80 dan RM75 untuk pelajar. Untuk sebarang maklumat mengenai pembelian tiket, anda boleh hubungi talian 014-9470290. – KopiPlanet.com



