• FOLLOW US
Rancangan TV, TV

Protege Chef Wan & Martin Yan Bertarung Dalam Raja Sawit

Chef popular, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Datuk Chef Wan dan Chef Martin Yan, dua ikon chef selebriti terkemuka di peringkat global telah bergabung tenaga sebagai mentor dan hos dalam program realiti TV terbaharu TV3, Raja Sawit yang akan bersiaran pada setiap hari Sabtu, pukul 6.00 petang bermula 8 Jun ini.

Raja Sawit merupakan pertandingan masakan program realiti TV pertama yang menampilkan pelajar-pelajar kulinari terbaik di Malaysia yang akan bersaing antara satu sama lain dengan menggunakan minyak sawit sebagai asas masakan mereka.

16 pelajar iaitu dua pelajar kulinari terbaik daripada lapan kolej kulinari terkemuka di Malaysia dijemput secara eksklusif untuk menyertai program ini iaitu SEGI University Kota Damansara, UNITAR International University, UCSI University, BERJAYA University College, UITM Puncak Alam, YTL International College of Hotel Management, HELP College of Art and Technology dan INTI International College Subang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, “Sebagai tanda sokongan pihak stesen kepada kempen kerajaan – Sayangi Sawitku yang bertujuan menggalakkan penggunaan minyak sawit secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, TV3 memperkenalkan program Raja Sawit yang mengetengahkan minyak sawit sebagai asas masakan,” katanya.

“Sejajar dengan matlamat program ini untuk mengetengah dan mempersiapkan chef terbaik untuk generasi akan datang yang dapat berkhidmat di peringkat global dengan memasak menggunakan minyak sawit, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan 2 ikon dunia masakan dan rakan-rakan penaja untuk menjayakan program ini. Kami yakin bahawa para peserta dapat menerima manfaat besar dengan perkongsian ilmu, pendedahan kemahiran dan teknik memasak untuk memulakan kerjaya sebagai seorang chef pada masa hadapan,” katanya lagi.

Disegani sebagai ikon masakan Malaysia, Datuk Chef Wan merupakan satu-satunya chef selebriti Malaysia yang aktif sebagai hos program TV, seorang usahawan, pengkritik makanan, penulis buku resipi, penerima “ratusan” anugerah dan duta pelancongan & kebudayaan Malaysia. Chef Martin Yan, satu nama besar yang pernah menjadi hos lebih daripada 3,000 program masakan di seluruh dunia, termasuk “Yan Can Cook,” beliau juga seorang Master Chef yang diiktiraf, perunding makanan, pengajar masakan dan penulis yang terkenal turut serta untuk menjayakan program ini.

16 peserta dibahagikan kepada 8 pasukan yang mewakili kolej kulinari masing-masing. Mereka mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Datuk Chef Wan dan Chef Martin Yan. Sepanjang 6 episod ini, kesemua peserta akan menaiki bas “Raja Sawit” ke pelbagai lokasi untuk merasai pengalaman memasak menggunakan sayuran dan ikan segar melalui konsep “ladang ke meja”.

Bermula pada episod ketiga, para peserta akan berhadapan dengan sesi penyingkiran. Hanya 3 pasukan terbaik layak mara ke pusingan akhir pada episod keenam. Pasukan terbaik bakal memenangi gelaran “Raja Sawit”, setiap ahli akan menerima trofi dan sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Datuk Chef Wan, Chef Martin Yan dan juga Menteri Industri Utama, Teresa Kok; sebuah apron eksklusif “Raja Sawit”; penginapan 3 hari 2 malam di The Banjaran Hotsprings Retreat bernilai RM10,000 seorang; latihan praktikal di restoran Datuk Chef Wan, “De. Wan 1958”; dan pisau yang ditandatangani oleh Chef Martin Yan. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend