Cerita ArtisHiburan

Raja Azura Tidak Kisah Dengan Kritikan Netizen

Bergelar salah seorang peserta Gegar Vaganza 4 (GV4), Raja Azura yang lebih dikenali sebagai hos dan pelakon menyatakan dia tidak kisah dan sudah bersedia menerima kritikan daripada orang ramai (netizen) berhubung penyertaannya itu.

Menurut Raja Azura, mungkin pihak di luar sana akan mempertikaikan penyertaannya dalam program yang dibarisi oleh penyanyi-penyanyi handalan, namun baginya ia merupakan rezeki buat dirinya dan anak-anak.

“Saya tidak peduli dengan apa orang nak kata sebab saya seorang yang positif.  Bagi saya, rezeki Allah SWT yang tentukan, orang di luar sana berhak untuk cakap apa sahaja.

“Hari ini kita hidup dengan media sosial, kritikan itu kita kena terima dengan hati yang terbuka. Saya tidak menganggap yang kritikan itu sebagai satu benda yang boleh menjatuhkan saya. Saya dah lama dalam industri dan sudah lalui pelbagai onak dan duri, benda-benda itu semua asam garam dalam industri,” katanya.

Sebagai persediaan bagi menghadapi saingan GV4, Raja Azura mengatakan dia sudah pun memulakan latihan dengan guru vokal, Shafi Shariff.  Selain daripada itu, Raja Azura turut menyatakan dia akan menjadi dirinya sendiri ketika berada di atas pentas dan menyanyi mengikut naluri hatinya sendiri.

“Saya pasti ramai yang nak tengok saya perform, termasuk mereka yang mengecam saya. Mereka pasti nak cari salah saya, tetapi perkara itulah yang menaikkan semangat saya.

“Saya bukan penyanyi profesional, saya menyanyi ikut naluri hati. Sebab itu kena ada buat persediaan dan saya dah pun mulakan latihan vokal dengan Cikgu Shafi. Kita nak pergi ‘berperang’, sudahlah ‘senjata’ saya dah berkarat, mereka semua dah guna M-16,” katanya dalam nada bergurau.

Raja Azura bersedia untuk bersaing dengan 11 lagi peserta program Gegar Vaganza 4 yang akan memulakan saingan pada 29 Oktober ini.

Selain bersedia menghadapi kritikan netizen, Raja Azura juga sudah bersedia mendengar komen-komen daripada pengkritik tetap, Datuk Ramli M.S yang ditugaskan mengulas persembahan peserta pada setiap minggu.

Baginya, setiap anak seni pastinya memerlukan komen dan kritikan membina daripada golongan profesional agar ia dapat mematangkan seseorang itu dalam bidang yang disertainya.

“Kita tidak akan matang dalam industri kalau tak pernah kena komen. Lagipun komen-komen itu yang akan membuatkan kita matang dalam menjalani kehidupan sebagai anak seni,” katanya lagi.

Dalam GV4, Raja Azura akan berhadapan saingan daripada 11 peserta lain iaitu Aishah, Elyana, Syura, Haida Hafiz, Liza Hanim, Aqasha, Lan Kristal, Hazami, Tia Jimbara dan dua peserta nusantara, Firman mewakili Indonesia dan Ferhad dari Singapura.

GV4 akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini dan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button