
Filem Redha baru-baru ini telah menerima pengiktirafan di Luang Prabang Film Festival (LPFF) menerusi Audience Choice Award 2017 yang berlangsung di Laos pada 8-14 Disember 2017.
Filem arahan Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM 29), Tunku Mona Riza dalam satu kenyataan di Facebook miliknya memberitahu, LPFF bukan sebuah festival pertandingan.
“Ia hanya tayangan filem dan selepas tayangan setiap filem pihak penganjur akan mendapatkan rating daripada penonton yang menonton. Minumum rating adalah satu star (bintang) dan maksimum adalah lima star (bintang).
“Semua yang menonton adalah 97% mat salleh, 2% Malaysian dan 1% orang Thailand. Kami ingin memberitahu bahawa filem Redha mendapat rating lima star (bintang),” ujarnya.
Dengan pengiktirafan yang diraih ini, ia merupakan kejayaan kali yang ke-10 untuk filem berkenaan di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2016 dan 2017.
Redha merupakan sebuah filem memaparkan tentang kisah perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang pasangan suami isteri untuk membesarkan anak yang menghidap autisme.
Ia menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Harith Haziq, Izzy Reef, Namron, June Lojong, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Ruminah Sidek dan Susan Lankester. – KopiPlanet.com