• FOLLOW US
Filem, Review

Rempit Sampai Langit Komedi Ringan Menghiburkan

Tajuk: Rempit Sampai Langit

Tayangan: 23 November 2017

Durasi: 1 Jam 29 minit

Genre: Aksi / Komedi

Pengarah: Silver Chung

Pelakon: Ajak Shiro, Nabila Huda, Tauke Jambu, Reen Rahim, Jay Iswazir, Abdulrahman Suud, Cristina Suzanne, Ruminah Sidek dan Abu Bakar Juah.

Klasifikasi: P13

Buat ibu bapa yang ingin mencari filem bagi menghiburkan anak-anak sempena musim cuti persekolahan, ajaklah anak-anak menonton filem Rempit Sampai Langit bagi mengisi masa lapang mereka.

Komedi ringan yang diselitkan memang boleh memecahkan gelak tawa penonton menerusi dialog-dialog yang begitu menghiburkan.

Rempit Sampai Langit mengisahkan tentang Kudin (Ajak), seorang remaja yang nekad untuk menyertai kumpulan mat rempit demi memikat semula hati kekasihnya, tetapi dia kecewa apabila tidak seorang pun kumpulan itu mahu dia menyertai mereka.

Namun, hidup Kudin mula berubah apabila seorang saintis Arab memberinya minyak magik yang boleh membuatkan motornya terbang sehingga ke langit. Ya, literally!

Situasi luar biasa itu kemudiannya pantas menjadi tular sehingga dia menjadi buruan individu yang berminat mendapatkan formula minyak magik tersebut selain menjadikan dirinya sedikit hanyut dalam dunia glamor.

Rakan baik Kudin, Comel (Nabila), yang menaruh minat terhadap Kudin, menyedari perubahan perangai Kudin dan cuba mengembalikan Kudin yang dahulu.

Filem ini menggunakan beberapa aspek CGI dalam penceritaannya bagi menggambarkan motor terbang yang merupakan antara elemen humor yang cuba diserapkan oleh pengarah, Silver Chung.

Jika sekali tengok, memang kita akan terus teringat kepada filem-filem arahan pelakon Stephen Chow yang terkenal dengan lawak-lawak splastik yang cukup menghiburkan walaupun kadang-kala ada adegan yang tidak berapa masuk akal.

Tapi, dah namanya pun filem komedi, kita ambil sahaja ia sebagai hiburan ringan untuk seisi keluarga.

Lakonan bintang utama, Ajak dan Nabila sangat berkesan dan mereka mampu mencipta keserasian berlakon bersama walaupun Nabila sebelum ini lebih dikenali dengan watak-watak berat dan serius.

Bakat lakonan Jay Iswazir juga tidak boleh dipandang ringan apabila berjaya membawakan watak antagonis dengan cemerlang menerusi ekspresi wajahnya.

Jalan cerita yang ringan sememangnya menghiburkan, anda tak perlu bersusah payah memikirkan plot-plot berat seperti filem-filem lain. Just sit back, relax and enjoy! – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend