Cerita ArtisHiburan

Remy Tidak Terburu-Buru Nak Kahwin, Masih Kumpul Duit

Walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun namun pelakon Remy Ishak tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga memandangkan dia kini sedang giat mengumpul duit untuk mendirikan rumah tangga selepas hampir setahun mengikat tali pertunangan dengan tunangnya, Ezza Yusof.

Menurut Remy, sehingga kini dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat dan bersyukur mempunyai tunang yang begitu memahami diri dan karier lakonannya.

“Saya kini dalam fasa tengah mengumpul duit untuk mendirikan rumah tangga. Kalau boleh saya nak buat majlis secara sederhana sahaja. Saya percaya pada jodoh yang telah ditentukan Tuhan. Tunang saya pula jenis yang memahami dan tidak pernah mendesak saya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Projek Siri Original DO[s]A di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DO[s]A merupakan drama kolaborasi di antara produksi Malaysia dan Indonesia yang akan disiarkan di Astro First saluran 480 bermula 14 Februari ini.

Jika kebanyakan orang takut untuk menghadapi dugaan sepanjang tempoh pertunangan, namun ia tidak menjadi satu masalah buat aktor itu. Ini kerana baginya ujian pertunangan dapat mematangkan seseorang individu itu sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

“Memang alam pertunangan itu penuh ujian dan dugaan tapi saya sentiasa berfikiran positif. Untuk melangkah ke alam perkahwinan, kita perlu hadapi dugaan pertunangnan terlebih dahulu, kalau kita boleh hadapinya memang kita sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya selepas itu,” katanya.

Remy dan Ezza yang merupakan seorang usahawan mengikat tali pertunangan pada 30 April 2017.

Sementara itu, Remy mengakui dia tidak mengetahui gosip bertebaran mendakwa tunangnya merupakan seorang ibu tunggal selain dia berkeras menafikan perkara tersebut.

Sebelum ini terdapat khabar angin mendakwa tunangnya merupakan seorang ibu tunggal disebabkan kekerapan wanita berkenaan memuat naik gambarnya dengan seorang budak lelaki di laman sosialnya.

“Ada viral ke tentang kisah dia (Ezza) dah kahwin? Saya tak tahu pula. Namun begitu, apa yang boleh saya kata dia belum pernah berkahwin.

“Saya juga selalu berpesan kepadanya supaya tidak perlu layan sangat gosip-gosip sebegini, nanti dia yang akan tertekan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai drama DO[s]A yang dibintanginya, Remy memegang watak sebagai Farid yang mempunyai empat adik-beradik yang dijayakan pelakon Asraff Sinclair, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana. Datuk M.Nasir pula membawakan karakter sebagai Latif iaitu bapa kepada empat beradik itu.

Selain mereka, drama ini turut dibintangi pelakon Indonesia seperti Reuben Elishama, Roy Marten dan Hannah Al-Rashid. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Remy Ishak

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button