Rancangan TVTV

Risau Program Kanak-Kanak Papar Bahasa Kesat, Diana Amir Kemudi Nurkids

Merasa tanggungjawab untuk memperluaskan kandungan program kanak-kanak berciri Islamik dan patuh syariah, pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiana Amir Hashim, 36, mengambil inisiatif dengan menggemudi slot program Nurkids di saluran televisyen digital, Nurflix.

Menurut Diana selaku pengarah kandungan program Nurkids, dia ingin anak-anaknya terdidik dengan hiburan kanak-kanak yang tidak lari dan menyimpang daripada nilai Islam itu sendiri.

“Sebagai ibu, pastinya saya inginkan anak-anak saya mendapat didikan yang baik dan mengikut syariah Islam yang sebenar. Kalau kita tengok, program hiburan terutama daripada negara luar banyak tunjukkan kata-kata yang tidak elok dan kesat.

“Saya cukup risau mengenai perkara itu dan disebabkan itu saya hadir dengan idea untuk menubuhkan program Nurkids yang akan menunjukkan rancangan kanak-kanak yang menghiburkan namun tetap mengikut landas-landas Islam.

“Saya berharap program-program yang ditawarkan di Nurkids akan mampu membina jati diri, mempelajari sifat kepimpinan diri, membentuk sahsiah terpuji serta membina ukhwah yang baik dan sejati di kalangan kanak-kanak dan anak muda,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Diana ditemui pada majlis sidang media perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pelancaran program Nurkids & Turath yang berlangsung di Skyforest, Acapella Suite Hotel, Shah Alam semalam.

Nurkids menawarkan pelbagai variasi program menarik serta menghiburkan yang terdiri daripada sitkom berbentuk kekeluargaan serta akademik, drama superhero, masakan, bacaan dan hafazan Al-Quran, kreativiti sehinggalah kepada gameshow.

Program-program tersebut adalah Class + (sitkom akademik), Bayt Al Habib (sitkom kekeluargaan), Pendekar Cilik (drama), Kichen (masakan), My Friend The Qari (bacaan dan hafazan Al-Quran), It’s A Fann Show (kreativiti) dan Bismillah Go (gameshow).

Diana mula aktif dalam bidang seni sejak 13 tahun lalu. Pelakon kelahiran Birmingham, United Kingdom itu berkahwin Mohd Habibbullah A Rahman pada Oktober 2013.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Khaulah Al Azwar, 5, Khadija Azzehra, 3, dan Muhammad Khalid Al Habib, 1. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button