
Sara Clever Girl Berhasrat Ceburi Bidang Seni
Pemenang program realiti Clever Girl musim kedua (CG2) Sara Amelia Muhammad Bernard berhasrat mahu menceburi bidang seni.
Mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang seni, Sara, 24, berhasrat dapat mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan dan pengacaraan selepas ini.
Kesemua 13 peserta CG2 akan diuruskan di bawah unit pengurusan stesen tv tersebut selepas berakhirnya program ini.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kontroversi hangat mendakwa dirinya merupakan peserta pilihan pihak produksi sehingga dibekalkan dengan soalan bocor, Sara menjawab, dia sama sekali tidak menghiraukan cakap-cakap negatif orang di luar sana.
Sebaliknya kehadirannya dalam pertandingan itu adalah bagi membuktikan biarpun tidak mempunyai ijazah, dia masih lagi mampu berdiri sebaris dengan peserta-peserta lain yang mempunyai kelayakan pendidikan lebih tinggi dirinya.
“My haters sebenarnya adalah my motivator. Semakin mereka bercakap mengenai saya, lagilah saya nekad mahu membuktikan bahawa saya memang layak memenangi gelaran ini di atas usaha saya yang sentiasa study bagi menghadapi saingan pada setiap minggu,” jelasnya yang merupakan lulusan Asasi Matematik, Psikologi dan Ekonomi.
Menjuarai program terbabit, anak jati Ipoh itu berjaya membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM100,000 beserta trofi yang disampaikan pemenang musim pertama, Fatin Noraisya Mohd Hanipha.
Dalam pusingan akhir, Sara dicabar hebat peserta Negeri Sembilan Fadila Zuhaira Mohd Noor, yang merupakan graduan pendidikan.
Sementara itu, Fadila menyatakan selepas ini dia mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama.



