
“Saya Terkilan Kalau Tak Bawa Watak Ali” – Luqman Hafidz
Pelakon yang cukup terkenal dengan dialog “Kita Menang Sama-Sama, Kita Kalah Sama-Sama,” Luqman Hafidz menyatakan dia akan berasa terkilan sekiranya watak Ali yang dibawakannya dalam filem Ola Bola tidak dilakonkan olehnya sendiri menerusi teater muzikal, Ola Bola The Musical.
Menurut Luqman, dirinya sudah sebati dengan watak Ali yang telah menaikkan namanya di persada seni tempatan sejak filem Ola Bola menjadi fenomena pada 2016.
“Saya tak boleh bayangkanlah kalau ada orang lain bawa watak Ali di atas pentas (teater), mesti saya akan rasa terkilan. Sebab dari filem lagi saya memang fight untuk dapatkan watak Ali dengan menjalani pelbagai peringkat ujibakat.
“Saya puas hati dapat berlakon dalam Ola Bola The Musical sebab ini merupakan pertama kali saya berlakon teater dan sangat bersyukur dapat beraksi dengan produksi yang cukup hebat ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada tayangan pembukaan Ola Bola The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Luqman atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi, Ola Bola The Musical turut menampilkan barisan pelakon seperti Iedil Putra, Brian Chan, Abi Manyu, Jian Wen, Altimet, Douglas Lim, Nasz Sally dan Melissa Ong. Ia diarahkan Puan Sri Tiara Jacquelina.
Sementara itu, Luqman berkongsi memang terdapat banyak perbezaan di antara berlakon filem dengan menjayakan teater. Baginya, kedua-duanya memberikan satu pengalaman dan kepuasan yang berbeza buat dirinya.
“Semua orang dalam panggung bangun dan beri tepukan, ia merupakan satu kepuasan yang tidak boleh diucapkan. Saya gembira dengan sambutan orang ramai. Bagi saya berlakon filem dan teater, ada kelainannya.
“Antara kelainan yang boleh saya cakap, antaranya pergerakan pelakon dan lontaran dialognya tidak sama. Dalam teater lontaran dialog semuanya kena besar dan gerakan menari pun kena sharp. Semua itu cukup berbeza dengan penggambaran filem.
“Walaupun ini merupakan projek sulung teater saya, Ola Bola The Musical sememangnya cukup istimewa di hati saya. Sebabnya saya bekerja dengan semua pelakon dan krew produksi yang sentiasa menyokong di antara satu sama lain sepanjang kami menjalani latihan sejak tiga bulan lalu,” katanya lagi.
Mengakui ada sedikit tekanan membawakan watak Ali di pentas teater, namun pelakon berusia 27 tahun itu berkata, “Saya rasa elok rasa tekanan itu ada sebab dengan adanya tekanan saya akan kerja lebih kuat lagi.”
“Saya memang tidak mudah berpuas hati dengan lakonan sendiri dan hari demi hari saya akan cuba berikan yang terbaik. Untuk teater ini, saya akan cuba perbaiki teknik sepakan saya agar ia lebih berkesan di mata penonton yang hadir menyaksikan pementasan teater ini,” katanya lagi.
Ola Bola The Musical yang diterbitkan Enfiniti Productions akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 9 Februari sehingga 11 Mac ini. – KopiPlanet.com
Krediti foto: Instagram Luqman Hafidz



