Cerita ArtisHiburan

Sedia Bersemuka, Aliff Syukri Mohon Maaf Pada Ali & Balu Abam

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri memohon maaf dan bersedia bersemuka dengan Ali Puteh dan keluarganya susulan kontroversi yang melibatkan mereka baru-baru ini.

Menurut Aliff, 33, dia enggan memanjangkan lagi cerita di antara mereka dan terbuka untuk bertemu dengan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan serta ibunya, Sabariah Arshad dan balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali.

“Saya mohon maaf pada Ali, ibunya serta Hidayah dan saya bersedia bersemuka dengan mereka. Saya mohon maaf bukan bererti saya salah sebaliknya tidak mahu panjang-panjangkan cerita. Biarlah saya mengalah sahaja, saya juga berharap orang luar di sana berfikir sebelum mengutuk saya.

“Saya tahu saya tidak berhak campur tangan, tapi saya tidak akan bertanya kalau pihak di sebelah sana (Hidayah) tidak bercerita. Kalau saya tahu jadi macam ini, saya memang tidak akan pergi (buat temu bual). Lepas jadi macam ini, saya ada hubungi Hidayah tapi dia tidak angkat mungkin dia pun tertekan dengan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pada majlis sidang media khas yang diadakan di ibu pejabat D’Herbs, Kota Damansara hari ini.

Aliff sebelum ini teruk dikecam kerana dikatakan menjadi punca kepada ‘perbalahan’ di antara Ali dan kakak iparnya.

Menerusi video kontroversi itu, Aliff bertanyakan tentang harta peninggalan arwah Abam sehingga mencetuskan kemarahan Ali yang melemparkan kata hinaan kepada kakak iparnya.

Ditanya mengenai sama ada dia ingin menurunkan video tersebut, Aliff berkata dia tidak akan berbuat demikian malah menafikan dakwaan mengatakan dia hanya mengejar keuntungan.

“Saya tidak buat duit pun dengan siarkan video itu. Bagi saya, kalau content itu memalukan saya sampai ramai mencerca saya itu bukan content yang bagus.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak bersalah apabila bertanyakan soalan sebab dia ang bercerita. Sebagai manusia biasa, takkan saya tak respons bila orang dah bercerita sebegitu,” ulasnya lagi.

Arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas.

Balu dan anak arwah, Syed Uthman Hamzah kini menetap di kediaman ibu bapanya di Sabak Bernam selepas didakwa dihalau oleh ahli keluarga Abam seperti mana yang terkandung dalam video yang ditemu bual oleh Aliff.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Aliff berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu bernama Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary berikutan kenyataannya yang didakwa memfitnah produk jualan usahawan tersebut.

“Dalam pada saya terkait dengan kontroversi mengenai keluarga arwah Abam, ada pula seorang insan ini yang mengatakan saya kaya disebabkan jual produk haram.

“Ustaz ini buat fitnah kata produk-produk saya semuanya haram dan bagi makan keluarga saya dengan hasil haram. Disebabkan fitnah yang dilemparkan itu, habis jualan produk saya jatuh. Bukan sikit-sikit ya jatuh dia.

“Sehubungan itu saya beri masa selama 24 jam untuk dia tarik balik semua kenyataan yang dimuat naik serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Jika tuntutan itu tidak dibuat, saya tidak teragak-agak failkan saman fitnah dan saman malu terhadap individu ini. Jangan ambil publisiti ini untuk bankrapkan (perniagaan) saya,” ujarnya lagi yang ditemani peguam, Hasshahari Johari Mawi dari Hasshahari & Partners.

Hasil pemerhatian, ustaz tersebut dilihat sudah menurunkan kesemua statusnya yang menghina dan memfitnah Aliff di media sosial miliknya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button