Cerita ArtisHiburan

Selepas Menyanyi, Safiey Ilias Kini Cuba Berlakon Filem Pula?

Usahawan popular, Safiey, 24, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias bersedia dengan kritikan orang ramai apabila bakal membuat kemunculan dalam sebuah filem.

Menurut sumber terdekat Kopiplanet.com, usahawan itu akan muncul dalam dua babak filem berjudul Autumn In Wales #CintaMestiMenang yang kini masih dalam proses penggambaran.

“Perasaan teruja dan takut itu sudah tentu ada, tetapi saya terima tawaran berlakon filem ini kerana ia sesuai dengan jiwa saya.

“Setiap orang mahu diterima tidak kiralah latar belakang jantina atau status. Sebarang kritikan akan saya ambil dengan positif agar boleh diperbaiki pada masa depan,” katanya.

Safiey berkata, dia akui selepas membaca skrip, watak dalam filem tersebut biarpun muncul sekejap saja akan memberi impak positif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Safiey yang sebelum ini muncul dengan single Syinta Gila tidak terfikir untuk bersaing dengan mana-mana usahawan popular lain yang pernah berlakon dalam filem.

Katanya, dia pernah beberapa kali ditawarkan untuk berlakon, namun kesibukan dalam perniagaan membuatkan dia terpaksa menolaknya.

Bagaimanapun, disebabkan babak membabitkannya dalam filem terbaru arahan Rahila Ali terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. itu tidak mengambil masa lama, maka dia pun memberikan persetujuan.

“Tidak mustahil saya akan menerbitkan filem sendiri pula pada masa akan datang selepas merasai sendiri pengalaman berada di dalam set penggambaran.

“Ibarat sambil menyelam minum air, banyak benda saya boleh belajar di segi penerbitan, pengarahan dan kerja teknikal kelak,” ujarnya.

Filem Autumn In Wales #CintaMestiMenang bergenre komedi romantik turut menampilkan pelakon Jaa Suzuran, Eyka Farhana, Keith Foo, Wanna Ali, Amyza Aznan, Joey Daud dan Sissy Iman bakal ditayangkan pertengahan tahun hadapan. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Safiey Ilias

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button