
Seminggu Tak Makan Nasi, Berat Shuk Sahar Turun 7 Kilo!
Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar mendedahkan dia telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg) dalam masa seminggu.
Menurut Shuk, beratnya dari 102 kg sudah menurun kepada 95 kg hasil tidak menjamah nasi sejak mengamalkan diet bermula minggu lepas.
“Selepas sambutan raya memang saya dah nekad nak berdiet dan ia sudah mula dilaksanakan sejak minggu lalu.
“Setakat ini saya sudah berjaya turun berat badan sebanyak tujuh kilo. Kalau boleh saya nak cuba turunkan lagi sehingga mencecah 90 kilogram,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Shuk ditemui pada majlis pelancaran program realiti tv baharu, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) di The Starling Mall, Damansara hari ini.
Shuk menjelaskan dia menjaga pemakanannya bukanlah disebabkan mahu mahu tampil langsing dan kurus sebaliknya atas faktor kesihatan.
“Pendorong saya untuk berdiet ini adalah atas saranan mak dan isteri saya. Badan besar macam saya ini bahaya sebenarnya sebab nak bernafas pun susah.
“Saya bukannya nak kurus sangat cuma yang penting adalah atas faktor kesihatan selain nak buang perut buncit saya ini.
“Saya dapatkan dulu nasihat doktor di sebuah klinik sebelum mula berdiet. Sekarang saya memang elakkan minum air manis dan minum empat liter air kosong setiap hari.
“Nak diet, kena selalu minum air itu yang paling penting selain elakkan menjamah makan berminyak,” ujar Shuk lagi.
Muncul dengan program terbaharu ICSYVMY bergandingan dengan Alvin Chong sebagai pengacara, Shuk melihat ini adalah satu penanda aras dalam karier pengacaraannya.
“Program ini adalah yang kedua terbesar pernah saya hoskan selepas Anugerah Skrin.
“Untuk program ini, saya memang pernah tengok rancangan yang sama versi negara Korea Selatan, jadi tidak rasa kekok sebab dah tahu konsep dia macam mana.
“Saya tiada masalah bergandingan dengan Alvin sebab dia pun rajin bertanya di set. Mana perkataan bahasa Melayu yang dia tidak faham memang dia akan bertanya pada saya.
“Alvin seorang rakan hos yang boleh memberi dan menerima. Itu buat saya senang bekerja dengan dia,” katanya lagi
ICSYVMY akan mula bersiaran pada 4 Ogos ini, jam 8.30 malam di saluran ntv7.
Pada setiap episod, enam orang penyanyi misteri akan diperkenalkan dan artis-artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang pada setiap pusingan.
Antara barisan artis yang terlibat dalam ICSYVMY ialah Cakra Khan, Pasha Ungu, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Virgoun, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan De Fam. – KopiPlanet.com