Cerita ArtisHiburan

Sertai GV4, Hadiah Aishah Untuk Peminat

Penyanyi Aishah yang tersenarai sebagai peserta Gegar Vaganza musim keempat (GV4) menyifatkan penyertaannya itu sebagai hadiah buat peminat setianya.

Menurut Aishah, penyertaannya dalam program itu adalah bagi memenuhi hasrat peminat yang sudah sekian lama menantikan kemunculannya. Selain itu, penglibatannya dalam program itu juga bertujuan untuk mencabar dirinya sendiri mendendangkan lagu yang bukan merupakan ‘makanannya’.

“Saya sertai GV4 adalah untuk peminat-peminat saya.  Sebelum ini mereka sering bertanya kenapa saya dah lama tak muncul di kaca tv dan ini adalah hadiah daripada saya untuk peminat.

“Selain itu, saya menyertai program ini adalah untuk mencabar diri menyanyikan lagu-lagu yang bukan genre saya, yang mana ia merupakan satu cabaran buat setiap penyanyi.

“Macam minggu pertama yang akan datang ini, saya tak rasa thrill itu lagi sebab nyanyi lagu sendiri, cabarannya bermula bila kita mula menyanyikan lagu penyanyi-penyanyi lain dan lagu dari genre yang kita tak biasa bawa.  Bagi saya setiap penyanyi harus mengambil cabaran sebegini,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media Gegar Vaganza 4 di The Gardens Theatre semalam.

Bagi mempersiapkan dirinya dengan pertandingan itu, Aishah kini sudah mula mendengar lagu-lagu generasi baharu dengan bantuan anak-anaknya.

“Saya dah lama tinggal (menyanyi), yang saya tahu lagu-lagu era saya sahaja, bila nak tahu lagu baharu, saya kena tanya anak-anak dan mereka akan kenalkan saya dengan lagu-lagu baharu,” ujarnya lagi.

Seperti mana kelaziman program realiti yang tidak dapat lari daripada komen-komen ‘jahat’ netizen, penyanyi berusia 52 tahun itu berkata dia sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang bakal diterima sekiranya vokalnya dikritik tidak kedengaran sama seperti di zaman kegemilangannya.

“Saya jarang baca komen di Internet, yang saya ambil kira komen-komen yang diberikan orang-orang terdekat dengan saya sebab apa yang mereka perkatakan itu adalah bertujuan untuk memperbaiki diri saya agar jadi yang terbaik,” katanya yang bakal mendendangkam lagu berhantunya, Janji Manismu pada konsert pertama GV4.

Selain Aishah, GV4 turut disertai Elyana, Liza Hanim, Syura, Haida Hafiz, Raja Azura, Aqasha, Tia Jimbara, Lan Kristal, Hazami dan dua penyanyi luar iaitu dari Indonesia, Firman dan Ferhad (Singapura).

GV4 masih mengekalkan hos yang sama seperti musim-musim terdahulu iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Sementara, juri tetap digalas Datuk Ramli M.S dan seorang lagi juri yang akan diumumkan pada malam konsert pertama.

Konsert pertama GV4 akan diadakan pada 29 Oktober ini, jam 9 malam bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Ia disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan aplikasi Astro Go dan On Demand. – KopiPlanet.com
Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button