
Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir telah dilantik sebagai pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa hari ini (8 Oktober).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, perlantikan Shakib bagi menggantikan Datuk Fauzi Ayob.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKKM, Fairul Azida Shahabudin pula dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Pengarah Finas.
Beliau menggantikan Datuk Azmir Saifudin Mutalib yang memegang jawatan tersebut sebelum ini dan turut berkuat kuasa mulai tarikh yang sama.
Finas sebelum ini dilaporkan terbabit dengan penyelewengan dana sebanyak RM25 juta sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menyiasat pegawai kanan Finas beberapa bulan lalu. – KopiPlanet.com