
Penyanyi Daiyan Trisha mengangkat mesej penyakit depresi dalam karya terbaharunya yang berjudul Kita Manusia.
Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu, mesej itu diketengahkan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai penyakit tersebut yang sering dipandang ringan oleh masyarakat di luar sana.
Kita Manusia merupakan lagu ciptaan Daiyan bersama komposer Omar K dan liriknya dihasilkan oleh Daiyan sendiri.
“Saya menulis Kita Manusia untuk menceritakan bahawa kesedihan dan kekecewaan yang pasti akan dialami oleh manusia, tetapi setiap kesedihan itu dapat ditangani dengan adanya orang sekeliling seperti rakan mahupun keluarga.
“Ramai yang memilih untuk merahsiakan masalah atau penderitaan mereka. Daiyan berharap agar Kita Manusia mampu menjadi pendorong semangat buat mereka yang mempunyai masalah supaya kuat dalam menempuhi segala keperitan hidup.
“Bagi Daiyan, ia adalah normal bagi setiap manusia untuk merasakan pelbagai perasaan suka dan duka dalam kehidupan kerana kita semua adalah manusia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Kita Manusia di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Sejajar dengan pelancaran Kita Manusia, seramai lapan individu telah dipilih bagi menjayakan kempen kesedaran penyakit depresi yang dilakukan pihak pengurusan Daiyan, Paranormal Records.
Antara yang terpilih dalam kempen media sosial itu ialah model Alicia Amin, penyampai radio Hitz Fm, Melissa Thng, ‘cancer survivor’ Mukhlis Idris, ikon media sosial Hafreez Amminudin, penyair Fynn Jamal, penyanyi dan model Sasha Nicole, penyampai radio IM4U, Thevanesh Rao dan pembantu psikologi, Anis Khairil.
Mereka berkongsi pengalaman mengalami depresi menerusi kempen tersebut yang disiarkan melalui video pendek yang menggunakan tanda pagar (hashtag) #KITAMANUSIA.
Bagi menyemarakkan kempen tersebut, Daiyan bakal mengadakan satu showcase di The Bee, Publika pada 2 November ini.
Showcase yang berlangsung selama satu jam itu akan turut memuatkan sesi perkongsian cerita di antara Daiyan dan peminatnya mengenai perihal depresi.- KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Daiyan Trisha