
Siti Nordiana Mahu Zaaim Jadi Rakan Duet Untuk Persembahan
Penyanyi Siti Nordiana atau Nana yang juga mentor kepada Zaaim telah memaklumkan bahawa dirinya mempunyai perancangan untuk berduet bersama protegenya itu bagi mana-mana acara pada masa akan datang.
Menurut Nana, gandingan duet bersama Zaaim itu dilihat dapat memudahkan urusan pelbagai pihak, terutamanya jika ada persembahan yang memerlukan slot duet bersamanya.
“Jika ada slot duet untuk mana-mana show, saya akan bawa Zaaim. Hal ini sebenarnya memudahkan saya kerana tidak perlu mencari pasangan duet lain.
“Namun begitu, ia juga bergantung kepada pihak pengurusan terbitan televisyen,” katanya ketika ditemui selepas saingan final Mentor 7 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nana turut mengakui bahawa anak didiknya dilihat berpontensi untuk menyanyi dengan lebih baik kerana mempunyai keunikan dari segi suara serta kualiti vokal yang tersendiri walaupun tidak mengikuti sebarang kelas vokal sebelum ini.
Ujarnya, setelah sembilan minggu bertarung di pentas Mentor 7 bersama tiga lagi protege lain di peringkat akhir, dia melahirkan rasa syukur apabila didikan yang diberikan buat Zaaim akhirnya membuahkan hasil apabila meraih juara.
“Saya sangat menyukai tone suara Zaaim ketika sesi uji bakat lagi, manakala dari segi vokal Zaaim pula tidak banyak yang perlu diperbaiki kerana dia sentiasa ikut apa yang saya ajar,” ujarnya.
Selain itu, selaku mentor juga Nana mengakui bahawa dirinya bukan sekadar mengajar Zaaim mengenai bidang nyanyian semata-mata malah bertindak membakar semangat Zaaim agar yakin dan percaya diri setiap kali melakukan nyanyian serta persembahan di atas pentas. Nana turut menambah bahawa Zaaim sebenarnya kurang mempunyai keyakinan pada dirinya sendiri dan seorang yang pemalu.
“Alhamdulillah, untuk saingan final semangat Zaaim sangat kuat dan persembahannya juga penuh bertenaga kerana beberapa hari sebelum itu Zaaim agak tertekan. Saya sebagai mentor sentiasa memberi motivasi untuk terus berusaha gigih.
“Zaaim yang saya kenal pada mulanya sangat pemalu dan kekok untuk berada di pentas. Jadi tugas saya adalah memberi arahan yang tegas kepada Zaaim demi kebaikan dia,” katanya kepada KopiPlanet.Com.
Zaaim berjaya membawa pulang wang tunai RM 80 000, sebuah kereta tajaan Aerocar dan trofi setelah menewaskan tiga peserta lain pada saingan final Mentor 7. – KopiPlanet.Com
Artikel : Syafiqah dan Fatin
Pelajar Praktikal UiTM Puncak Perdana