
Siti Nordiana Tampilkan Elemen Drama Pendek Dalam Video Muzik Angkara
Sempena dengan pelancaran single baharu berjudul Angkara, Siti Nordiana atau Nana terlebih dahulu telah menghadiahkan peminat dengan video muzik yang menerapkan elemen drama pendek.
Menariknya, video muzik hasil sentuhan Khairul Hazwan itu mengandungi empat episod yang mana pada episod akhir segala persoalan bakal terjawab. Menariknya, episod keempat itu juga adalah muzik video penuh Angkara.
Nana berkata, idea itu timbul selepas melihat anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, yang suka menonton filem pendek di YouTube.
“Saya terfikir yang saya tak pernah buat konsep sebegini. Selalunya ‘countdown’ saja dan terus keluar video muzik penuh. Bagi saya ia sudah biasa dan kali ini saya nak bagi ‘extra’ dan drama sikit pada peminat.
“Dalam video muzik ini peminat kena menonton drama pendek dulu baru boleh tahu video penuh. Saya mendapat idea ini sebab anak suka menonton drama dan filem pendek di YouTube. Dari situ saya cuba untuk gunakan konsep sama dalam video muzik kali ini,” katanya.
Menurutnya, untuk episod pengenalan ia sudah ditayangkan pada 3 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. Angkara iaitu hasil ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya.
Nana yang juga pelakon Dia Semanis Honey berkata, idea jalan cerita yang dipaparkan adalah inspirasi daripada kisah masalah rumah tangga yang banyak dipaparkan dalam drama atau filem.
“Pada mulanya saya memberi idea jalan cerita kepada pihak produksi. Mereka suka dan kami terus melakukan perbincangan untuk menambah baik lagi. Dengan bantuan pengarah, syarikat Seventeen Eleven Music dan syarikat saya sendiri, maka terhasillah video muzik ini.
“Disebabkan banyak pihak terbabit, jadi saya perlu mendapatkan pandangan mereka juga. Baharulah orang kata ada variasi,” jelasnya.
>Baca: Shukri Yahaya Mahu Fokus Berlakon, Belum Sedia Ceburi Bidang Perniagaan
Lebih istimewa lagi buat peminat, Nana juga turut menampilkan pelakon popular, Fikry Ibrahim sebagai watak utama dalam video muzik berkeaan.
“Menerusi perbincangan, pengarah minta dia mahukan muka ‘bad boy’ dan ala-ala ‘playgirl’. Kebetulan hubungan saya dan Fikry pun baik. Dia kawan yang sangat mudah nak bekerjasama, malah senang berurusan dan tidak banyak kerenah.
“Pendek kata, dia sangat memudahkan kerja. Walaupun ada yang cakap kenapa Fikry lagi sebab dalam video muzik Hatiku Milikmu turut menggunakan khidmatnya, tetapi disebabkan seronok bekerjasama dengan Fikry, jadi kenapa tidak kami bekerjasama semula.
“Lagipun dia seorang pelakon yang sangat komited terhadap kerja. Kalau tengok drama pendek ini macam-macam ‘rasa’ ada,” katanya.
Seterusnya, episod kedua bakal ditayangkan pada 8 Julai dan ketiga pada 13 Julai ini, jam 9 malam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Sementara itu, video muzik penuh bakal dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai dan serentak dengan itu turut dilancarkan juga lagu Angkara. – KopiPlanet.com




