Rancangan TVTV

Siti Nurhaliza, Faizal Tahir Galas Tugas Juri Tetap Big Stage

Dua penyanyi popular popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dipilih sebagai juri tetap program terbaharu terbitan Astro, Big Stage.

Siti selaku juri tetap melihat program ini sebagai satu inisiatif baharu bagi mengetengahkan lagi  penyanyi-penyanyi muda berbakat besar agar lebih dikenali.

“Sebagai juri, saya akan sentiasa memberi komen membina bagi menambah baik persembahan setiap peserta. Ada di antara peserta yang saya pernah lihat persembahan mereka di Youtube dan Smule.

“Saya merasakan Big Stage merupakan platform yang sangat bagus untuk mereka, biarpun ada yang pernah menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini. Jadi, mereka dah mempersiapkan diri untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus. Mereka perlu gunakan peluang ini dengan sebaiknya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Siti ditemui pada majlis pelancaran Big Stage di Chamber 3, Kuala Lumpur hari ini. Big Stage merupakan pertandingan nyanyian di kalangan penyanyi muda masa kini yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU).

Seramai 10 penyanyi mengambil bahagian iaitu Tajul, Wani Kayrie, Andi Bernadee, Sarah Suhairi, Sissy Iman, Fara Hezel, Baby Shima, Arif Barhan, Afieq Shazwan dan anak Saleem Iklim, Syafiq Farhain.

Sementara itu, Faizal Tahir pula menyifatkan format rancangan ini sesuatu yang segar dan perkara itu membuatkannya tertarik untuk terlibat sama dengan produksi Big Stage.

“Format Big Stage memberi satu perubahan segar dalam industri seni dan para pesertanya pula merupakan barisan artis muda yang boleh menyanyi.

“Kami di sini akan menjalankan tugas menegur dalam cara untuk mengajar mereka memperbaiki lagi mutu persembahan,” kata Faizal.

Bakal memulakan siaran pada 5 Ogos ini, Big Stage akan dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Alif Satar. Konsert mingguan Big Stage akan bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lapan minggu pada setiap Ahad jam 9 malam.

Ernie Zakri pula dilantik sebagai guru vokal yang akan mengajar teknik nyanyian buat para peserta. Setiap minggu peserta akan dinilai oleh juri tetap dan nasib tiga peserta di kedudukan terendah akan ditentukan pula menerusi undian di aplikasi Tik Tok.

Peserta yang mendapat undian terendah akan disingkirkan pada setiap minggu. Selama lapan minggu pertarungan, para peserta akan diberikan cabaran lagu mengikut tema-tema tertentu yang telah ditetapkan pihak produksi.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.

Sementara itu, pelakon Eyra Hazali dan Harris Anuar pula diberi peranan sebagai hos Big Stage Live Plus yang akan disiarkan menerusi platform digital.

Big Stage akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button