• FOLLOW US
Filem, Terkini

Tindakan Undang-Undang Terhadap Individu Sebar Munafik 2 Di Internet

Penerbit filem Munafik 2, Skop Productions Sdn. Bhd. bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan rakaman penuh filem Munafik 2 di internet.

Datuk Yusof Haslam berkata, individu yang dikenali sebagai Muhammad Izwan Shah Kamal Shah atau Sasuke Kun itu ternyata bongkak, meskipun sudah diminta untuk membuang video filem itu.

“Pihak kami ada 10 orang pemantau di sosial media. Kalau diikutkan memang ada beberapa individu lain yang kami boleh ambil tindakan, tetapi mereka telah memadamkannya apabila diminta berbuat demikian.

“Bagaimanapun, individu yang seorang ini ternyata degil dan tidak mengendahkannya. Jadi, kami mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa sidang akhbar Skop Productions Ambil Tindakan Drastik Pelanggaran Hak Cipta Digital Munafik 2 yang berlangsung di Finas petang tadi.

Sehubungan itu, Yusof menyatakan bahawa pihaknya telah mendapatkan perintah injuksi secara ex-parte di Mahkamah Tinggi Taiping pada 9 Oktober lalu.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof yang turut berada di sidang akhbar berkenaan berkata, sebelum ini dia sudah menggunakan budi bicara terhadap individu tersebut.

“Jadi, kami telah ambil keputusan untuk membawa lelaki berkenaan ke muka pengadilan. Tindakan ini dibuat bukan untuk filem saya sahaja, tetapi demi kemajuan industri perfileman tanah air.

“Selain itu, saya harap agar pihak berwajib harus memandang dengan lebih serius mengenai isu ini. Malah, saya nak tengok sejauh mana undang-undang kita kenakan hukuman kepada pesalah,” jelasnya.

Jika terbukti bersalah, individu berkenaan boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987 dan hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi daripada RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend