
Syafiq Kyle Masih Single, Senang Berkawan Dengan Hannah Delisha
Pelakon yang semakin mendapat perhatian ramai, Syafiq Kyle menafikan gosip mengatakan dia kini sedang hangat bercinta dengan pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha.
Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak menjelaskan hubungan mereka memang rapat, namun tidak lebih sekadar rakan baik dalam satu industri.
“Saya memang rapat dengan Hannah dan kami sering bekerjasama. Malah, kami memang sering berkongsi cerita dan ada satu perkara tentang Hannah yang buat saya suka dengan dia.
“Walaupun usia dia masih muda, tetapi dia berani tegur saya untuk perbaiki mutu lakonannya. Saya suka rakan pelakon yang macam itu, senang untuk bekerja dengannya,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Syafiq ditemui pada majlis pelancaran tiga produk keluarannya iaitu Facial Mask by Kylez Lab, laman web rasmi www.syafiqkyle.com dan baju kurta rekaannya sendiri, Kylez by Syafiq Kyle yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Bakal menginjak usia 26 tahun pada 24 Jun ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut tidak ketinggalan ditanya bila dia mahu menamatkan zaman bujangnya.
Ujarnya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga, sebaliknya menyerahkan perkara itu mengikut perancangan yang telah diatur Yang Maha Esa.
“Sekarang saya masih single dan available. Saya impikan wanita yang sedap mata memandang serta yang boleh menyenangkan hati saya. Untuk perancangan kahwin pula, saya tak pernah letakkan sebarang sasaran. Kalau jodoh sampai tahun depan, tahun depanlah saya kahwin.
“Saya tidak kisah jika bakal isteri adalah selebriti ataupun orang biasa. Saya tak nak ulas lanjut perkara ini sebab saya belajar daripada kesilapan orang lain. Apabila cakap nak orang biasa, pasti akan dapat artis dan begitu juga sebaliknya. Saya terima sahaja jodoh yang ditentukan Allah untuk saya,” katanya yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Uqasha Senrose.
Sementara itu, Syafiq berkata dia terlibat dalam perniagaan adalah untuk memastikan konsistensinya dalam bidang hiburan terus berjalan lancar kerana baginya populariti yang diraih kini tidak akan bertahan lama.
“Saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan bukan bermakna saya seorang yang tamak, semua nak bolot. Tidak… ini kerana ia satu bidang baharu yang saya sertai untuk memastikan konsistensi saya dalam bidang seni terus kekal relevan.
“Bagi saya, yang penting adalah konsistensi seseorang daripada populariti. Sebabnya, populariti itu tidak bertahan lama. Hari ini nama kita di atas, esok lusa mungkin nama orang lain pula.
“Macam ramai cakap tahun ini adalah tahun saya (untuk menyinar), lagi ramai cakap macam itu lagi bersemangat untuk saya buat bermacam-macam kerja,” ujarnya. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Syafiq Kyle