• FOLLOW US
Filem, Review

Syarat Wajib Tayang Kian Uzur, Sistem Kuota Filem Wajar Diperkenalkan

Tanggal 9hb Mei 2018 mencipta sejarah bagi rakyat Malaysia yang buat pertama kali berani menunjukkan kuasa sebenar sebagai raja demokrasi dengan secara majoritinya membuat perubahan pemerintahan diperingkat persekutuan. Tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) memberikan indikasi harapan yang tinggi kepada rakyat untuk memperbaiki sistem usang yang diguna pakai semasa pemerintahan kerajaan BN.

Pun begitu, kita harus bersikap adil kepada kerajaan terdahulu kerana tidak semua dasar mereka memberikan mudarat kepada rakyat, malah banyak juga kebaikan yang harus kita akui dan nikmati hingga kini. Namun, hasrat rakyat yang bertindak menghukum berlandaskan beberapa aspek mega yang membebankan rakyat seperti 1MDB, cukai GST dan lain-lain, ternyata membawa padah kepada kerajaan BN.

Kini, harapan rakyat Malaysia diterajui oleh PH menerusi mantan Perdana Menteri yang kini sekali lagi menjadi Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Melihat kepada suasana perubahan secara makro yang berlaku dalam negara ketika ini, saya ingin menyentuh satu perkara yang rasanya harus merasa tempias kepada perubahan ini. Tidak kepada perkara-perkara mega yang disebutkan diatas, tetapi lebih kepada perkembangan dan struktur industri filem tempatan pada ketika ini. Sejujurnya, tanpa ada maksud tersirat, kupasan saya ini lebih kepada sistem bukannya individu pelaksana. Saya berpendapat bahawa inilah masa terbaik untuk beberapa perubahan drastik perlu dilakukan dalam sistem perlaksanaan kebajikan filem tempatan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Secara khususnya saya menyentuh soal Syarat Wajib Tayang FINAS.

Tidak perlulah saya huraikan apa itu Syarat Wajib Tayang FINAS dan bagaimana ia berfungsi. Saya telah menulis perkara ini beberapa kali dan saya pernah menyebut kelembapan dan kemalapan industri tempatan kita pada masa ini adalah disebabkan oleh konsep Syarat Wajib Tayang FINAS yang sudah terlalu uzur dan sudah tidak relevan dalam industri kita pada era digital ini. Kira-kira 10 tahun lalu ketika saya berada bersama Jawatankuasa Wajib Tayang ini, saya pernah mencadangkan sistem ini ditukar ke satu sistem yang lebih efisyen untuk berhadapan era hari ini. Memang ada tindakan di peringkat jawatankuasa dan tindakan pemula telah diambil. Namun bila sahaja ditanya apa kesudahannya, jawapan paling biasa kita terima, ia masih di peringkat kementerian. Budaya ini terus berlaku hingga ke hari ini apabila kita mendengar setiap kali Ketua Pengarah FINAS bertukar wajah, setiap kali itulah struktur ini kononnya akan diubah, namun jawapannya tetap sama.

Memang betul dari segi kosmetiknya terdapat sedikit kelainan berbanding dahulu. Boleh dikatakan ketika ini, tidak ada kewajipan ditayangkan di pawagam terbesar, ada terma fleksibel dan lain-lain namun asasnya masih sama. Perlu ada tayangan di FINAS, jawatankuasa menjadi penentu membuat pemilihan pawagam serta tarikh tayangan dan terma 15% dan 30% kapasiti minggu pertama masih diguna pakai. Itulah sebabnya sejak dulu dan kerap kebelakangan ini wujud perkara-perkara yang dikaitkan dengan manipulasi dan sabotaj dalam Wajib Tayang seperti jumlah pawagam yang diberikan terhad, kononnya jawatankuasa berat sebelah dan sebagainya. Akhirnya, industri filem itu sendiri yang menanggung kerugian.

Inilah yang saya sebutkan di awal tadi, di mana pentadbiran kerajaan kini harus lebih peka dan cepat bertindak, tidak seperti kerajaan terdahulu yang sangat kuat teori birokrasi. Kelemahan struktur ini mengundang satu sindrom yang membawa industri kita beku tanpa mengikut arus perubahan. Pada hemat saya, Syarat Wajib Tayang harus digantikan dengan satu struktur baru dengan pasukan idealis baru untuk mengangkat martabat filem kita senada dengan perkembangan industri perfileman antarabangsa.

Kini, kerajaan dan agensi seperti FINAS harus melihat 10 tahun yang akan datang dan apakah cabaran yang bakal dihadapi. Industri ini perlu diselamatkan dengan segera dan membawa industri perfileman negara ke paksi yang betul. Kita sudah tidak mahu lagi melihat, dengan kapasiti pawagam kini mencecah lebih kurang 150 pawagam di seluruh negara dan dijangka akan terus berkembang dalam tempoh lima tahun ini, kutipan filem tempatan masih ada lagi secara majoritinya dalam purata RM 100k hingga RM 150k. Apakah kita masih boleh berbangga dengan statistik ini? Malah dari catatan yang dikeluarkan oleh FINAS, sehingga artikel ini ditulis kutipan filem tempatan dibawah Syarat Wajib Tayang hanya RM 19.6 juta dari jumlah 18 judul filem. Bayangkan itu adalah jumlah terkumpul sehingga Mei 2018 berbanding kutipan filem Hollywood seperti Jumanji : Welcome To The Jungle mengutip kutipan sebanyak RM 48.9 juta hanya dengan satu filem. Bolehkah kita terima kata-kata liar kononnya ini takdir, penonton tidak menyokong, pawagam tidak membantu dan lain-lain yang senada dengan nya? Apa peranan FINAS dalam hal ini? Dan apa perancangan alternatif untuk berhadapan dengan situasi ini?

Sejujurnya saya pernah menyuarakan secara terus kepada YB Menteri Komunikasi Dan Multimedia ketika kerajaan BN memerintah pada penggal yang lepas, namun apakan daya, sistem birokrasi yang dipakai hanya janji irama yang didendangkan untuk sedap didengar ketika musim yang indah. Akhirnya kekal lah sistem ini sehingga kini.

Jadi kerajaan Pakatan Harapan kini harus menjadi hero menyelamatkan industri yang kian tenat ini. Segera berhadapan dengan semua ilmiah industri untuk mendapat respon yang baik yang tidak mempunyai DNA politik agar benih yang dihasilkan nanti, mampu memberikan manfaat yang sewajarnya. Fikir kewajaran yang perlu ketika ini.

Dan langkah pertama yang harus dilakukan ialah penjenamaan semua Syarat Wajib Tayang kepada satu struktur yang baru. Salah satu sistem yang boleh diberikan pertimbangan untuk menggantikan Syarat Wajib Tayang ialah SISTEM PERLAKSANAAN KUOTA FILEM (KUOTA). Pengalaman saya bekerja dengan gergasi pawagam dunia iaitu Reliance Media Group, India dan CJ CGV, Korea Selatan, perlaksanaan sistem ini amat praktikal di kedua negara ini namun perlu sedikit pengubah-suaian mengikut kondisi masyarakat di Malaysia.

Secara umumnya, sistem KUOTA ini merujuk kepada perlaksanaan pemilihan filem berlandaskan kepada pemintaan dan persaingan pasaran. Dalam konteks ini, pawagam dan penerbit akan berurusan secara langsung untuk pengisian slot tayangan di pawagam. Apa yang berlaku ketika ini, FINAS akan berperanan sebagai medium tengah di mana penerbit filem akan mendaftarkan filem mereka dalam Syarat Wajib Tayang, dan seteruskan jawatankuasa yang dilantik FINAS akan melakukan proses yang telah digariskan dan seterusnya memaklumkan arahan tayangan kepada pawagam. Proses ini sangat statik dan tiada semangat persefahaman industri dalam setiap eko-sistem utama.

Berbanding sistem KUOTA ini, FINAS hanya perlu meletakkan dasar kepada pawagam jumlah kuota wajib yang perlu diberikan kepada filem tempatan dan menyerahkan kepada pasaran untuk menentukan filem mana yang akan mendapat tempat untuk tayangan. Ini akan mewujudkan keseimbangan dalam industri di mana yang pertama, penerbit filem akan berhati-hati dalam menerbitkan filem mereka kerana jika tidak memiliki nilai pasaran yang baik, pasti akan sukar memperolehi tempat untuk slot tayangan. Pekembangan ini akan menyebabkan penerbit akan mempunyai lebih daya saing dan tidak bergantung penuh dengan FINAS. Yang kedua, pihak pawagam akan mempunyai tekanan untuk mencari filem yang perlu ditayangkan memandangkan terdapat kuota yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak seperti sekarang di mana pawagam hanya menunggu surat arahan FINAS untuk filem yang bakal ditayangkan dan tiada usaha untuk menggerakkan kejayaan filem tersebut hanya sekadar memenuhi arahan yang ditetapkan.

Saya akui di peringkat awal akan wujud beberapa kelemahan dalam sistem ini seperti kelebihan kawalan pada syarikat produksi yang besar, mungkin hanya menguntungkan kepada filem yang mengeluarkan kos yang tinggi, kelebihan kepada syarikat yang dekat dengan pengaruh pawagam dan lain-lain tetapi saya percaya dengan perincian pelaksanaan yang betul dan beberapa tambahan syarat yang baik boleh melengkapkan sistem ini menjadi lebih sempurna.

Akhirnya nanti, bila sistem ini menjadi matang, kita akan melihat industri kita akan berkembang dengan baik kerana wujud komunikasi dalam industri yang menjadi pengimbang di antara penerbit, pengedar dan pawagam. Pada ketika itu, sebelum memulakan produksi, penerbit sudah mendapat jaminan berapa pawagam yang akan akan memberikan slot kepada mereka dan yang paling penting, jatuh bangun sesuatu filem di pawagam akan dirasai bersama dalam setiap eko-sistem tanpa menyalahkan sesiapa seperti yang berlaku hari ini.

Dan peranan FINAS, selain dari penentu dasar pada kuota filem di pawagam, Jawatankuasa Wajib Tayang harus bertukar fungsi menjadi Jawatankuasa Pemasaran Filem untuk memastikan filem-filem yang sah memasuki pawagam, dapat dipasarkan secara saksama seperti penerbit gergasi yang lain untuk memastikan impak pasaran akan membantu kutipan filem pawagam.

Saya sangat optimis, jika kita melangkah untuk berubah sekarang, tidak mustahil catatan box office filem tempatan dalam tempaoh 5 ke 10 tahun akan datang, akan dapat menandingi kutipan filem luar yang rata-rata nya dikuasai oleh filem versi studio Hollywood. Oleh itu, buatlah pakatan untuk bina harapan pada industri filem negara. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend