
Takut Gemuk, Syafiq Kyle Jadikan Hobi Main Bola Sebagai Rutin
Sebagai seorang selebriti, Syafiq Kyle mengakui risau sekiranya berat badannya bertambah memandangkan kerjayanya menuntut seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan kemas dan berpenampilan menarik.
Menurut aktor kacak berusia 26 tahun itu, setakat ini dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram sejak mula mengamalkan gaya hidup sihat beberapa tahun lalu.
Salah satu daripadanya ialah dia gemar bermain bola sepak bagi mengekalkan stamina selain mengeluarkan peluh untuk kecergasan badan.
“Saya sebenarnya lagi takut kalau badan jadi gemuk daripada takut sekiranya dapat kecederaan ketika bermain bola sepak. Di usia 26 tahun ini, kadar metabolisme masih lagi kuat, sekiranya saya baru nak mulakan gaya hidup sihat ketika umur dah cecah 30-an, tiada guna sebab ketika itu metabolisme sudah tidak lagi kuat seperti sekarang.
“Sebab itu sekarang dalam dua atau tiga kali seminggu saya memang akan luangkan masa untuk bermain dengan pasukan bola sepak saya, Challo FC. Kalau sibuk sangat, saya akan pastikan dapat turun bermain seminggu sekali pun jadilah,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Syafiq ditemui pada majlis pelancaran trailer filem Gol & Gincu Vol. 2 di Empire City Mall, Damansara Perdana semalam.
Menerusi filem arahan Ummi Salwana Omar itu, Syafiq memainkan peranan sebagai seorang jejaka yang sentiasa menjaga penampilannya serta perlu selalu tampil kacak di mata umum.
“Karakter saya dalam filem ini saya perlu tampil jambu seperti jejaka K-pop. Itu merupakan rujukan yang digunakan pihak produksi untuk watak saya.
“Bukan mudah sebenarnya kerana saya harus sentiasa memastikan penampilan dijaga, sekalipun ketika berada di bawah panas. Saya juga terpaksa membataskan pergerakan supaya tidak banyak berpeluh,” katanya.
Selain Syafiq, Gol & Gince Vol. 2 yang diterbitkan oleh Red Films ini turut dibintangi Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Sazzy Falak, Sharifah Amani dan Aedy Ashraf. Ia akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Oktober ini. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Syafiq Kyle