• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Teruskan Konsert Tanpa Amy, Search Hanya Ingin Mencari Sesuap Rezeki

Kumpulan Search bakal mengadakan Konsert Apologia Search & Awie tanpa kehadiran vokalis utama kumpulan itu, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search.

Pemain bass Search, Nasir Daud memberitahu kesibukan perniagaan merupakan sebab Amy tidak dapat memberikan komitmen terhadap konsert yang dianjurkan Imaginex.

“Amy tidak dapat sertai konsert ini sebab dia sibuk dengan perniagaan dan tidak dapat berikan komitmen.

“Kami tidak boleh tunggu lagi, sebab sebelum ini banyak tawaran yang diterima terpaksa ditolak kerana Amy sibuk seperti yang diberitahu oleh pihak pengurusannya.

“Disebabkan itu, kami ambil keputusan untuk teruskan juga konsert ini dengan back-up plan memanggil Datuk Awie sebagai penyanyi gantian.

“Hampir dua tahun kami tiada tawaran untuk mengadakan persembahan. Ini sumber pencarian rezeki kami.

“Saya dah agak orang akan tanya mana Amy dan saya harap tidak ada pihak ketiga yang akan melaga-lagakan Search dengan Amy,” katanya kepada KopiPlanet.con ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Apologia Search & Awie yang berlangsung di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman pula menganggap peluang ini sebagai satu cara untuknya membantu rakan-rakan seperjuangan dalam bidang seni.

“Saya sebagai orang luar tidak berniat mahu campur tangan sebaliknya hanya untuk membantu kawan-kawan selain daripada saya hendak cari makan juga.

“Saya berterima kasih sebab mereka memilih saya untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini.

“Untuk konsert ini saya akan menyanyikan lagu-lagu hits Search seperti Fantasia Bulan Madu dan Meniti Titian Usang mengikut cara saya sendiri. Harapnya peminat boleh hadir bersama-sama untuk memeriahkan konsert ini,” katanya.

Selain Amy dan Nasir, Search dianggotai oleh Kid (gitaris) dan Din (gitaris) serta Pae selaku pemain drum menggantikan tempat Allahyarham Yazit.

Konsert itu juga akan menyelitkan segmen tribute kepada arwah Yazit yang meninggal dunia pada 26 September lalu akibat penyakit buah pinggang.

Konsert tersebut bakal diadakan pada 28 Mac ini di The Bee, Publika pada jam 9 malam.

Tiket berharga RM199 (Rock Zone) dan RM299 (VIP) boleh didapati dengan melayari www.ilassotickets.com atau hubungi talian hotline 03-21706333. Pembelian tiket VIP disertakan dengan sehelai t-shirt istimewa, CD dan poster.

Dalam pada itu, Amy ketika dihubungi berkata dia merestui gabungan Search dan Awie walaupun tanpa kehadirannya.

“Saya restu dengan konsert yang diadakan ini dan tiada apa-apa masalah timbul antara kami. Saya beri sokongan dan berharap konsert berjalan lancar.

“Saya tidak dapat berikan komitmen disebabkan terikat dengan perniagaan yang menuntut saya ke luar negara dengan lebih kerap.

“Penganjur beri tawaran dalam masa yang singkat, seharusnya hal-hal berkaitan konsert kena beri sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

“Ibaratnya, takkan kita sign perjanjian hari ini, esok dah terus nak buat konsert kan?,” ujar Amy. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend