
Tidak Mahu Panjang Isu, Misha Omar Terima Permohonan Maaf
Rententan sidang media yang telah diadakan minggu lepas berkenaan isu yang tular media sosial yang mengaitkan penyanyi Misha Omar menggunakan unsur khurafat, sihir dan sebagainya bagi memenangi pertandingan AJL ke-33, dua individu yang berkaitan telah tampil ke hadapan bagi memohon maaf secara terbuka.
Menurut peguam yang mewakili Misha iaitu Abi Mursyidin, kenyataan maaf tersebut telah dilakukan secara terbuka oleh Fairuz Azwan Akhir Sepian dan Ahmad Azhar Aziz dengan menandatangi perjanjian dan dianggap telah selesai.
“Kita hendak memaklumkan bahawa kes ini telah selesai kerana individu-individu yang terlibat telah hadir memohon maaf secara terbuka dan pengakuan maaf tersebut telah ditandatangani.
“Kedua-dua mereka ini berniat memohon maaf terhadap Misha Omar, meskipun sudah memohon maaf sebelum ini di media sosial dan Misha Omar telah menerima permohonan maaf mereka dengan hati terbuka,” ujar Abi Mursyid kepada KopiPlanet.com.
Misha ditemui majlis pada sidang media permohonan maaf netizen terhadap penyanyi itu di Tovista Cafe KL Eco City dan turut ditemani dua wakil peguam Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim dari Amelda Fuad Abi & Aidil hari ini.
Peguam yang mewakili Misha turut memaklumkan bahawa seorang lagi individu yang masih belum tampil ke hadapan telah menutup akaun media sosialnya dan kes tersebut menurut Misha telah selesai.
Sementara itu, Misha yang turut hadir pada sidang media berkenaan meluahkan rasa syukurnya apabila akhirnya pihak-pihak berkenaan telah tampil membuat permohonan maaf.
“Sebenarnya ini merupakan pengalaman baru dalam kerjaya sebagai anak seni dan sangat berterima kasih kepada kedua-dua peguam kerana melakukan kerja dengan penuh efisyen.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana mereka telah melakukan tanggungjawab ke atas apa yang telah terjadi dan bersedia untuk memulihkan keadaan.
“Mungkin malam ini juga saya akan pergi ke balai polis menarik semula laporan sebelum ini dan membuat laporan khas bagi pengguna media sosial terbabit,” ujarnya. – KopiPlanet.com
Artikel : Fatin & Syafiqah
Pelajar praktikal : UiTM Puncak Perdana