• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Uriah See Penyanyi Berbakat Besar, Boleh Berlakon & Cipta Lagu

Penyanyi Uriah See ternyata mengharumkan nama negara apabila dia merupakan satu-satunya wakil peserta dari Malaysia yang terpilih menyertai Pertandingan Opera Super Vocal musim kedua yang merupakan satu program televisyen yang cukup terkenal di Tanah Besar China.

Walaupun program itu sudah berakhir pada April lalu, namun Uriah masih kekal aktif dalam persada seni tempatan mahupun di negara jiran.

Penyertaan Uriah dalam program itu ternyata membawa tuah kepadanya apabila dia kini semakin dikenali di serantau Asia malah dirinya turut dilamar untuk membintangi drama bersiri terbitan produksi Singapura, Fried Rice Paradise.

“Menjadi sebahagian dalam projek tersebut dan dipilih oleh pengarah Dick Lee itu sudah cukup membuatkan saya bangga. Sepanjang menjalani penggambaran selama tiga bulan, saya banyak menimba pengalaman manis bersama barisan pelakon lain. Saya harap dapat bekerjasama dengan mereka lagi pada masa akan datang,” katanya.

Selain Uriah, drama bersiri itu turut dibintangi Carmen Soo, Peter Yu, Sebastian Tan dan Suhaimi Yusof.

Dalam drama tersebut, Uriah melakonkan watak sebagai Hennessy Goh, anak angkat seorang hartawan yang bakal mewarisi kekayaan ayahnya. Hennessy bekerja untuk ayahnya dan mendapat arahan daripada bapanya untuk menggoda seorang pemilik kedai runcit untuk menjual kedainya kepada mereka dengan harapan seluruh kawasan tersebut akan menjadi hab perniagaan mereka sekeluarga.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Uriah yang turut mempunyai bakat dalam penciptaan lagu telah tampil dengan sebuah lagu Listen To Your Inner Voice yang didendangkan oleh Victor Wong dan Azora Chin.

Uriah berharap di masa akan datang dia akan dapat menjadi selebriti serba boleh selain dapat menembusi pasaran peminat Melayu agar bakatnya akan terus dapat digilap. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend